Bantuan Sekolah Agama Di Pulau Pinang Ditarik Balik, PAS Tuntut Penjelasan DAP

SHAH ALAM – Pas menuntut Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjelaskan dakwaan berhubung penarikan balik bantuan tahunan kepada beberapa sekolah agama milik ahli-ahli Pas di negeri itu.

 

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali turut mendakwa surat tawaran bantuan yang telah dihantar juga ditarik balik.

 

“Kami ingin meminta penjelasan kerajaan Pulau Pinang yang diterajui oleh DAP dan PKR berhubung dakwaan bantuan kepada sekolah agama rakyat yang ditarik balik daripada beberapa buah sekolah rakyat milik persendirian ahli-ahli Pas.

 

“Beberapa buah sekolah agama persendirian ini telah mendapat bantuan tahunan sejak beberapa tahun yang lalu.

 

“Tetapi akhir-akhir ini bantuan mereka telah dihentikan. Bahkan surat tawaran bantuan yang telah dihantar ke beberapa buah sekolah terbabit didakwa telah ditarik balik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau juga menyifatkan, tindakan DAP dan PKR itu seolah-olah memberi mesej bahawa apabila berkuasa, mereka juga menjadi zalim dengan sesiapa yang berbeza ideologi politik.

 

“Dewan Ulama Pas Pusat mengingatkan kerajaan DAP dan PKR Pulau Pinang agar jangan bertindak seperti parti pemerintah sebelum ini yang menyekat dan tidak memberi bantuan kepada sebahagian sekolah agama rakyat milik ahli-ahli Pas kerana sentimen politik.

 

“Tindakan ini memberi mesej bahawa DAP dan PKR yang sebelumnya menjadi pembangkang apabila berkuasa juga menjadi zalim dan tidak memberikan keadilan dan hak terhadap mereka yang tidak sehaluan politik dengan mereka,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.