Bahaya Penyakit Anjing Gila

Virus rabies yang mengakibatkan penyakit anjing gila kepada manusia begitu asing di negara ini. Malah sudah lama rakyat negara ini tidak mendengar tentang penyakit itu yang mula dikesan pada 1977.

 

Kali terakhir dikesan pada manusia di negara ini adalah di Kedah pada 1998 manakala pada haiwan pula juga di negeri tersebut pada 1999. Kira-kira 12 tahun selepas itu, Malaysia diisytiharkan bebas penyakit tersebut.

 

Namun pada Ogos lalu, negara dikejutkan kembali dengan kehadiran virus itu yang menjangkiti seekor anjing di Perlis. Anjing itu dilaporkan menggigit tuannya tetapi mati beberapa hari kemudian semasa dikua­rantin. Senario anjing menggigit manusia adalah simptom utama penyakit tersebut.

 

Sehubungan itu, sampel otak haiwan berkenaan diambil dan dihantar ke makmal untuk dianalisis sebelum didapati positif virus rabies.

 

Justeru, satu pelan tindakan segera diambil Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perlis dengan menyuntik vaksin rabies kepada ratusan ekor anjing peliharaan.

 

Bagaimanapun ia gagal menghalang penyakit tersebut yang sudah merebak ke seluruh Perlis. Ini terbukti apabila hampir kesemua anjing liar yang ditangkap secara rawak di beberapa lokasi dan diambil sampel otaknya oleh jabatan berkenaan positif virus rabies.

 

Pada 19 Ogos, kerajaan negeri Perlis mengumumkan negeri itu dilanda wabak berkenaan. Bilangan kes anjing menggigit manusia terus bertambah dan sehingga kini jumlahnya sudah meningkat kepada 37 mangsa di Perlis sahaja.

 

Tidak terhenti di situ, kira-kira sebulan selepas itu, Pulau Pinang dan Kedah turut diisytiharkan mengalami wabak virus rabies ekoran terdapat kes manusia digigit anjing.

 

Sehingga kini, jumlah manusia yang digigit anjing terus bertambah di ketiga-tiga buah negeri itu.

 

Tidak diketahui pun­ca dan bagaimana virus itu boleh me­rebak dengan cepat sehingga ke tiga buah negeri dalam masa sebulan.

 

Berdasarkan ciri-ciri fizikal, seekor anjing yang sihat pula hanya mampu berlari sejauh 10 kilometer. Bagaimanapun ini ju­ga tidak bermakna Perlis yang pertama kali dikesan men­­g­alami penyakit itu selepas kira-kira 15 tahun, merupakan penyebar virus rabies.

 

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Unit Kawalan Penyakit, Jabatan Kesihatan Perlis, Dr. Zulhizzam Abdullah, adalah pen­ting untuk seluruh masyarakat sedar tentang bahayanya penyakit anjing gila.

 

Beliau menyatakan demikian kerana ada mangsa gigitan anjing di Perlis hanya datang untuk mendapatkan rawatan di hospital selepas tiga hari manakala ada juga enggan berjumpa doktor kerana menganggapnya perkara kecil.

 

“Mereka yang digigit anjing wajib mencuci luka dengan air dan segera ke hospital berdekatan untuk mendapatkan suntikan vaksin. Ini kemudian perlu disusuli tiga suntikan lagi selepas itu.

 

“Kita bimbang kerana 99 peratus manusia di seluruh dunia yang dijangkiti virus rabies berakhir dengan kematian selepas mengalami sawan.

 

“Seperkara lagi, ini bukan masalah kaum Cina sahaja disebabkan mereka membela anjing tetapi kaum lain juga terdedah kepada virus ini jika digigit atau dicakar anjing dijangkiti. Janganlah sampai ada kes manusia positif virus rabies kerana ia sudah terlambat untuk kita menyelamatkannya,” katanya.

 

Zulhizzam seterusnya tidak menolak kemungkinan virus itu berpunca dari negara Thailand yang menganggap rabies merupakan penyakit endemik atau kebiasaan.

 

Beliau juga tidak pasti bila negara ini dapat bebas daripada virus Rabies kerana sebelum ini, Malaysia mengambil masa selama 12 tahun sebelum boleh diisytihar bebas penyakit itu.

 

Beliau menjelaskan, virus rabies boleh juga merebak pada haiwan-haiwan lain seperti kucing tetapi jumlahnya hanyalah satu peratus manakala selebihnya melalui gigit­an atau cakaran anjing. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.