Soekarno Dihidupkan Kembali Sebagai Pelepas Rindu

Kuala Lumpur – Hanung Bramantyo, sutradara tersohor Indonesia yang terkenal dengan karya-karya seperti Ayat-Ayat CintaPerempuan Berkalung SorbanPerahu Kertas dan Perahu Kertas II.

Mula mencuri hati penggemar filem dengan genre komedi romantik di awal kemunculannya dalam industri filem Indonesia, Hanung kembali dengan karya agung berjudul, Soekarno.

Soekarno ialah sebuah biopik tentang presiden Indonesia pertama Soekarno dan melihat pada perjuangannya untuk kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 1945.

Dihasilkan pada tahun lalu, Soekarno telah meraih beberapa anugerah di Festival Filem Bandung 2014 untuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Pelakon Pembantu Terbaik. Filem ini membariskan pelakon terkenal Ario Bayu (sebagai Soekarno),  Maudy Koesnaedi (Inggit Garnasih), Tika Bravani (Fatmawati) dan Lukman Sardi (Dr Mohd Hatta).

Soekarno akan ditayangkan di pawagam TGV terpilih di seluruh negara mulai 2 Oktober ini.

Ikuti temuramah bersama Hanung:

Apa inspirasi di sebalik ‘Soekarno’?

Di Indonesia, semangat Soekarno tetap hidup. Dan kami masih lagi mengagumi kekuatan, kebijaksanaan dan karisma beliau sehingga sekarang.

Filem ini terinspirasi ketika di ambang Pemilu (Pilihan Raya Umum Indonesia) yang lalu kerana Indonesia pada waktu itu sedang dilanda krisis politik dan rakyat mendambakan dan merindukan sosok seorang pemimpin yang berwibawa seperti beliau.

Oleh itu, saya cuba untuk menghidupkan kembali Soekarno di dalam filem ini untuk menghilangkan kerinduan kami rakyat Indonesia kepada beliau.

Apa objektif Sokearno ‘dihidupkan’ kembali?

Saya ingin menceritakan kepada semua tentang sisi lain Soekarno. Di dalam filem ini saya menggambarkan beliau sebagai seorang manusia biasa yang mempunyai cinta dan kegelisahannya sendiri supaya semua boleh membayangkan bagaimana Soekarno berjuang ketika itu untuk dirinya sendiri dan Indonesia.

Ini bagi saya penting buat semua kerana perjuangan beliau ketika memperjuangkan kemerdekaan Indonesia masih lagi relevan untuk dijadikan sebagai inspirasi dan tauladan oleh semua pada zaman sekarang untuk mebangunkan dan memajukan Indonesia.

Berapa lama masa diambil untuk melakukan kajian filem ini?

Saya mengambil masa dua tahun untuk melakukan kajian dan pada masa yang sama untuk menghasilkan dan menyiapkan  skrip untuk filem ini.

Menurut laporan media, anda menghasilkan empat versi yang berbeza untuk Soekarno. Apa rasional di sebalik keputusan ini?

Bagi saya, inspirasi dan idea untuk menghasilkan filem ini sentiasa berkembang dan setelah menonton versi yang pertama, terus-terang saya nyatakan yang saya tidak berpuas hati dengan karya terawal itu.
Saya mengolah dan mengedit semula filem ini dan akhirnya, walaupun masih ada sedikit rasa tidak puas hati, versi yang akan ditayangkan ini adalah yang terbaik yang telah saya hasilkan untuk semua.

Anda di Indonesia terkenal sebagai seorang pengarah yang menghasilkan karya-karya yang kontroversial. Apakah itu kebetulan atau taktik anda untuk mempromosikan karya anda?

Di Indonesia, filem-filem yang kontroversial itu tidak box office. Jadi kalau itu adalah sebahagian daripada cara untuk saya mempromosikan filem-filem saya, itu akan merugikan saya.

Kontroversi-kontroversi itu hadir dengan sendirinya kerana semua filem-filem saya memberikan fakta yang berbeza daripada sterotype yang telah menjadi norma dan pemikiran biasa oleh semua orang.

Contohnya, filem Ayat-Ayat Cinta, ketika penghasilan filem tersebut, ramai berpendapat bahawa poligami itu salah, tetapi saya menyedarkan mereka dengan menceritakan cara berpoligami yang mengikut syariat agama.

Bagi Perempuan Berkalung Sorban, saya menceritakan sisi lain sebuah pesantren (sekolah pondok) yang mendiskriminasi dan menindas hak-hak asasi sebagai seorang wanita.

Ini menimbulkan kontroversi kerana masyarakat masih berpandangan bahawa pesantren adalah sebuah lembaga yang bersih, suci dan berlandaskan hukum-hukum agama.

Begitu juga Soekarno. Ramai berfikir bahawa perjuangan untuk Indonesia merdeka itu hanya dilakukan oleh Soekarno sendiri tetapi secara fakta, Soekarno tidak memerdekakan Indonesia seorang diri. Dia bekerjasama dengan Jepun untuk meraih kemerdekaan bagi Indonesia.

Banyak penggemar-penggemar filem Indonesia berpendapat bahawa filem Soekarno adalah karya arahan anda yang paling matang. Apa pendapat anda?

Mungkin kerana saya sudah lama berkecimpung di dalam dalam dunia perfileman, saya dikatakan sebagai sudah matang dalam berkarya. Saya berterima kasih dengan penghargaan yang diberikan itu.

Terus-terang, saya merasakan sebaliknya.

Ketika mengarahkan Soekarno, saya seolah-olah menjadi seorang sutradara yang baru kali pertama mengarahkan sebuah filem.

Ketika proses editing, saya menjadi tidak yakin dengan karya ini dan saya ingin merakamkannya semula dan mengolah lagi dengan lebih mendalam skrip yang telah saya saya hasilkan.

Jadi itulah sebabnya terdapat empat versi untuk Soekarno, kerana saya tidak yakin dengan karya yang telah saya hasilkan.

Impak yang anda rasakan selepas filem Soekarno dihasilkan?

Saya lebih mencintai Indonesia, saya lebih mencintai karya-karya saya, pekerjaan saya dan saya dapat melihat bangsa saya secara lebih meluas dan mendalam lagi.

Apa ‘trademark’ Hanung Bramantyo?

Saya tidak mempunyai sebarang trademark.

Saya seorang film maker yang hanya ingin berkongsi dengan semua kegelisahan yang melanda diri saya dan diceritakan melalui semua filem saya.

Bagaimana keadaan industri perfileman di Indonesia sekarang?

Keadaannya masih sama. Kami berjuang sendiri tanpa bantuan daripada pemerintah.

Dan sekarang, walaupun jumlah filem tempatan yang dihasilkan semakin meningkat, namun bilangan penonton semaking berkurang.

Tapi kami akan tetap survive. Sampai bila? Sampai bila-bila pun kami akan tetap survive.

Bagaimana dengan janji bakal pemerintah untuk menyokong industri kreatif di Indonesia menurut anda?

Itu hanya janji. Saya tidak mempunyai sebarang pendapat tentang itu.

Tetapi saya berrharap akan terlahir satu era baru daripada bakal presiden, Joko Widodo agar lebih mengambil berat dan peduli dalam memerhatikan industri kreatif di Indonesia, salah satunya adalah industri perfileman tempatan.

Apa cabaran yang anda hadapi di antara kebebasan berkarya dan mendapatkan penonton di dalam dunia bisnes perfileman?

Orang akan menonton filem yang mereka rasa berbaloi kerana untuk keluar ke pawagam itu adalah satu pengorbanan bagi mereka.

Mereka harus melalui banyak hal hanya untuk menonton sebuah filem.

Jadi tidak adil jika filem yang ditonton itu tidak berbaloi dan tidak menyentuh perasaan dan emosi mereka semua.

Dan saya menghargai itu dengan mencuba untuk menghasilkan karya-karya atau filem-filem yang berbaloi dengan apa yang telah mereka korbankan untuk menonton filem saya di pawagam.

Untuk menghargai pengorbanan mereka itu tidak mudah, tapi bagi saya, sebelum saya menghasilkan sesebuah filem, saya akan menjalankan research yang mendalam untuk mengetahui siapa yang akan menonton filem saya, apa kemahuan mereka dan apa yang akan menarik perhatian mereka.

Itu penting kerana hasil research saya itu akan dijadikan sebagai foundation untuk berkarya.

Setelah saya mengetahui latar belakang, keinginan dan expectations bakal penonton-penonton saya, saya akan mempunyai kebebasan untuk berkarya tetapi kebebasan saya berkarya adalah berdasarkan hasil research saya tersebut.

Apakah projek terbaru anda?

Saya sedang menghasilkan sebuah filem terbaru yang berjudul Hijab yang bakal ditayangkan pada awal 2015.

Filem ini sedang berada di dalam proses shooting. Ia menceritakan tentang 4 pasangan suami isteri di mana para isteri mempunya kerjaya dan pendapatan bulanan mereka melebihi para suami. Ini menimbulkan konflik dan soal agama telah digunakan sebagai shield untuk menjaga kepentingan lelaki-lelaki di dalam sesebuah institusi perkahwinan.

Harapan untuk filem Soekarno di Piala Citra Festival Filem Indonesia 2014 (FFI 2014).

Saya tidak meletakkan apa-apa harapan untuk Soekarno di festival tersebut. Jika ada sebarang pencalonan maka itu adalah rezeki bagi saya.

– Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.