Shabery Cheek Cuba Wi-Fi FUT Air Asia

Sepang – Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini mencuba perkhidmatan Wi-Fi ‘Free User Trial’ (Fut) semasa menaiki penerbangan AirAsia dari Miri ke Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, AirAsia berkata menteri itu kagum dan terkejut dengan adanya perkhidmatan Wi-Fi yang direka untuk menyediakan sambungan internet kos rendah bagi penumpang AirAsia.

“Beliau sendiri memaklumkan kepada penumpang lain menerusi sistem PA penerbangan. Enam puluh token akses Wi-Fi diberi percuma kepada penumpang sepanjang tempoh Fut, yang habis dalam masa 10 minit sahaja.

“Ini merupakan kadar tertinggi pengambilan sejak Fut diperkenalkan,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut perkhidmatan Wi-Fi Fut selama dua bulan dalam penerbangan AirAsia boleh didapati dari sekarang hingga akhir Oktober 2014.

“Sejumlah 60 penumpang dalam penerbangan terpilih akan dapat menguji dan menilai perkhidmatan Wi-Fi di dalam penerbangan secara percuma. Dengan kuota masing-masing 1MB, para penumpang akan menikmati pakej khas yang membolehkan mereka berbual melalui LINE, Whatsapp dan WeChat.

“Penumpang akan dimaklumkan melalui pengumuman dalam penerbangan sekiranya pesawat yang mereka naiki dilengkapi kemudahan Wi-Fi,” jelas kenyataan itu. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.