Negara Perlu Perangi Rasuah Secara Holistik – Sultan Nazrin

Kuala Lumpur – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini bertitah agar pihak berkuasa mengambil langkah secara holistik untuk menangani gejala rasuah di negara ini.

Titah baginda, langkah holsitik itu ialah memberi fokus kepada dua aspek iaitu ‘langkah punitif yang tegas dan tidak selektif’ dan ‘langkah preventif untuk mengukuhkan integriti, tegas dan tidak selektif’.

Baginda bertitah, secara simplistik pelaku rasuah terbahagi kepada dua kategori iaitu kumpulan terdesak yang menghadapi kesempitan hidup dan mereka yang terdiri daripada kalangan yang bersifat tamak haloba.

“Bilangan pelaku rasuah di bawah kategori pertama di negara ini akan bertambah jika tiada formula berkesan diperkenalkan dalam memberi fokus kepada aspek kebajikan mereka terutama dalam soal kos hidup.

“Negara ini tidak boleh berada dalam minda penafian akan realiti sebenar yang sedang berlaku. Ia cabaran besar kepada negara,” titah baginda pada majlis Raja Dihati Rakyat sempena ulang tahun penubuhan Badan Pencegah Rasuah BPR)/Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke-47, di sini hari ini.

Sultan Nazrin turut mengingatkan bahawa undang-undang dan agensi penguatkuasa adalah instrumen yang perlu dilengkapi dengan program yang komprehensif lagi holistik bagi menangani gejala itu.

“Ia bukan sakit tekak yang bersifat sementara dan boleh diubati dengan gula-gula ‘strepsil’, ia penyakit sosial yang serius, memerlukan rawatan intensif daripada doktor dan pakar bedah sosial,” titah baginda.

Titah baginda, bertindak secara tegas lagi tidak selektif dalam memerangi rasuah bukan satu opsyen tetapi satu kemestian dan aspek pencegahan memerlukan usaha meningkatkan integriti agar insan dibina dengan ketahanan dalaman, tidak terpengaruh oleh dorongan nafsu.

Turut hadir di majlis itu Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.