Kenaikan Gaji MB, Exco, Speaker Dan Timbalan Dikaji Semula

Shah Alam – Kenaikan gaji dan elaun seperti yang diluluskan pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor yang lalu akan dikaji semula, demikian menurut Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.


Bagaimanapun, kajian keperluan kenaikan itu hanya melibatkan empat jawatan sahaja iaitu menteri besar, speaker dan timbalannya serta ahli majlis mesyuarat negeri.

Kesemua ADUN akan tetap menikmati kenaikan yang diluluskan DUN pada November 2013 lalu.

“Namun kita berpendapat kenaikan kadar ini perlu dikaji semula mengikut kesesuaian dan MMKN memutuskan untuk membentangkan pada sidang dewan akan datang agar kadar itu dikaji semula bersesuaian dengan perkhidmatan dan tanggungjawab oleh mereka yang terlibat.

“Ia tidak melibatkan kenaikan kepada ADUN, sebabnya kita merasakan kenaikan kadar ADUN yang diputuskan lalu adalah berpatutan, bersesuaian dengan tanggungjawab yang dipikul mereka pada waktu ini,” katanya yang ditemui di sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco petang tadi.

Pada 27 November 2013, Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor meluluskan kenaikan gaji menteri besar sebanyak RM29,250, exco RM20,250, speaker RM22,500, timbalan speaker RM15,750 dan Adun RM11,250.

Selepas merasai kenaikan gaji bermula Januari lalu, pada Sidang DUN yang diadakan pada April pula membuat keputusan untuk meluluskan pemotongan elaun yang kemudiannya akan disalurkan kepada Tabung Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Selepas pemotongan, jumlah elaun menteri besar adalah RM14,175.15, manakala exco dan speaker DUN pula mendapat RM15,000, dan timbalan speaker RM12,000.

Umum mengetahui Azmin merupakan individu yang paling lantang menolak kenaikan elaun dan gaji menteri besar, speaker dan timbalan, exco dan 56 ADUN Selangor.

Sementara itu, menteri besar mahu kepimpinan baharunya diberikan masa bagi meneliti kesemua isu-isu berbangkit yang dipersetujui Khalid sebelum ini, antaranya termasuklah pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex) dan penstrukturan semula industri air Selangor.

“Paling penting bagi isu Kidex dan isu-isu lain adalah kesemua syarat dan terma persetujuan dan pelaksanaan perlu dipenuhi. Maka kita akan lihat semula semua perjanjian yang telah diikat untuk memastikan semua hal ini akan diambil kira, soal ‘connectivity’, kepentingan awam.

“Namun hari ini kita belum teliti lagi hal-hal itu kerana keutamaan yang kita beri adalah air, dan kita putuskan esok ada taklimat khas dari Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) tentang pengstrukturan semula air di Selangor,” ujarnya.

Setelah dilantik menjadi menteri besar pada 22 September lalu, ramai yang menjangkakan bahawa Azmin bakal menjadi menteri besar ‘remote control’ yang hanya akur kepada keputusan kepimpinannya khususnya Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apatah lagi Anwar pada minggu lalu juga membuat gesaan kepada Azmin untuk meneliti semula perjanjian yang ditandatangani pentadbiran lalu termasuk isu Kidex dan air.

Dakwa Anwar, Khalid tidak pernah menjelaskan dan memperincikan mengenai kelulusan dalam setiap perjanjian tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.