Trump Derma RM4.27j Kepada Mangsa Taufan Harvey

WASHINGTON – Rumah Putih semalam mengumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump akan menyumbang sebanyak AS$1 juta (RM4.27 juta) kepada tabung bantuan kepada warga Texas dan Louisiana yang terjejas akibat taufan Harvey.

Menurut AFP/Reuters, “Dengan bangganya, beliau berjanji untuk menyerahkan wang sebanyak AS$1 juta (RM$4.27 juta), iaitu sumbangan peribadinya untuk membantu penduduk di Texas dan Louisiana,” kata jurucakap Rumah Putih, Sarah Sanders kepada wartawan, lapor BH.

Bagaimanapun, Rumah Putih tidak mendedahkan sama ada sumbangan itu akan disalurkan oleh Trump sendiri atau menerusi yayasan miliknya.

Ketika kempen pilihan raya presiden pada 2016, Trump dikritik hebat kerana sering mengumumkan akan membuat sumbangan amal, tetapi akhirnya tiada bantuan disalurkan seperti yang didakwa.

Menurut Sanders, Trump sudah meminta Rumah Putih mengemukakan cadangan mengenai cara untuk membelanjakan sumbangan terbabit.

Pada masa sama, Sanders mengumumkan bahawa Trump bakal mengunjungi Houston dan Lake Charles, Louisiana, esok.

Ini berikutan, Presiden Amerika Syarikat itu gagal melawat kawasan banjir di Texas pada kunjungannya Selasa lalu, atas sebab logistik dan keselamatan.

Sementara itu, di Ottawa, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, berkata beliau sudah menghubungi Trump dan menawarkan bantuan dalam usaha pemulihan di Texas yang musnah selepas dilanda taufan Harvey.

“Perdana Menteri menyampaikan ucapan takziah kepada semua mangsa yang terjejas akibat taufan Harvey.

“Beliau juga menyatakan kesediaan Kanada untuk membantu usaha pembangunan semula,” kata pejabat Trudeau dalam satu kenyataan ringkas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.