Siti Nordiana, Fikry Terima Seadanya

Perlu tabah menghadapi setiap gosip dan tohmahan, itu kenyataan yang perlu mereka terima apabila bergelar anak seni. Bukan semua yang diperkata mengenai mereka itu benar, yang penting mereka tidak perlu melatah dengan spekulasi andai berada pada pihak yang benar.

Bagi Siti Nordiana Alias dan Fikry Ibrahim yang merupakan pasangan pengacara program Gema Gegar Vaganza bersama-sama Achey Bocey itu, boleh dikatakan sudah ‘lali’ melalui gosip yang ditujukan kepada mereka.

 

Malah itu antara pengorbanan yang perlu dilakukan sebaik bergelar anak seni dan mereka sedar tentang hakikat itu.

Siti Nordiana atau Nana, 33, sendiri mengakui sepanjang bergelar anak seni sudah banyak ‘hempedu’ yang ditelan.

“Nana jenis yang tak suka bising-bising tentang sesuatu isu. Kalau Nana ambil hal semua yang diperkata, rasanya tak lama dalam bidang ini. Apa yang orang tak kata Nana? Ada yang kata Nana berlagak dan sombong.

“Kenapa Nana perlu sombong? Cukuplah pengalaman lalu mengajar Nana agar lebih bersikap merendah diri. Dulu ketika sedang naik (popular) dengan arwah Achik, kami pernah buat benda itu (berlagak sombong) pada peminat dan tahu akibatnya kerana apabila kita buat perangai begitu, peminat lari. Orang sekeliling pun tak suka,” katanya.

Siti Nordiana kembali mendapat perhatian ramai selepas menjuarai program Gegar Vaganza musim kedua berkata, dia tidak akan melepaskan peluang kedua yang diperoleh.

“Sekarang ini apabila dapat peluang kedua takkan Nana nak buat perkara yang sama. Kalau boleh Nana nak memuaskan hati semua orang. Peminat kalau datang tengok persembahan Nana dan mahu bergambar memang Nana tak kisah cuma Nana perlu ikut jadual penganjur dan kadangkala tidak sempat bergambar dengan semua peminat.

“Nana ingin beritahu kepada semua bahawa Nana tak sombong atau berlagak. Kalau nak tegur Nana waktu sedang makan pun Nana tak kisah dan boleh saja layan peminat,” ujarnya.

Tambah Siti Nordiana, diam juga bukan bererti dia menelan bulat-bulat yang diperkata orang terhadapnya kerana sedikit sebanyak hatinya tetap terguris.

Dia yang sedang popular dengan lagu Terus Mencintai akui, kehidupan sebagai artis memerlukan banyak pengorbanan terutama tentang perasaan sendiri.

Apabila orang memperkata tentang sesuatu yang tidak benar tentang dirinya, ibu kepada Muhammad Nakhaie Rayyan, 9, terpaksa memendamkan sahaja rasa yang ingin dilontarkan bagi mempertahan diri.

“Kalau nak kira dari awal karier gosip tak pernah lekang dalam kerjaya Nana. Bukan Nana yang pinta tapi ada saja yang dicanangkan. Tak tahulah mungkin ada yang tak senang dengan Nana atau terasa hati. Bagi Nana senang saja, kalau Nana ada buat salah, maaf dipinta.

“Nana malas nak membalas walaupun kadang-kadang itu macam tak tahan tapi kalau kita jawab nanti berlanjutan, baik diamkan diri. Memang terasa tapi siapa Nana nak tutup mulut orang ramai,” katanya.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.