Neelofa Masih Hos Meletop

KUALA LUMPUR: Pengacara popular, Neelofa, menegaskan beliau masih lagi bersama program Meletop, yang dikendalikannya sejak hampir lima tahun lalu.

Beliau tampil membuat kenyataan itu kepada BH Online apabila ditanya mengenai luahan hatinya di laman sosial Instagram, Selasa lalu, yang kelihatan seolah-olah mengundurkan diri daripada rancangan terbabit.

“Saya masih lagi dengan program Meletop. Malah, saya akan mengikat kontrak tahunan baharu bersama program itu tidak lama lagi.

“Apa yang dikongsi itu sekadar perkongsian rasa dan perasaan. Bagaimanapun, ramai pula yang salah faham,” katanya menjelaskan kekeliruan yang timbul.

Jelas usahawan tudung terkenal itu, perkongsian itu sekadar untuk menyatakan betapa pantas masa berlalu.

“Alih-alih, sudah hendak masuk lima tahun saya bersama Meletop. Bayangkan, saban minggu, saya akan datang ke lokasi sama kerana komitmen pengacaraan program itu.

“Apa yang saya luah juga seperti peringatan buat diri sendiri dan juga peluang berharga yang diberikan untuk saya terus mengacara,” katanya yang mengendalikan program berkenaan bersama Nabil Ahmad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.