“Kejayaan ALF2 Bukan Kerana Saya Seorang” – Zizan Razak

KUALA LUMPUR: Bintang Abang Long Fadil 2 (ALF2), Zizan Razak, menganggap kejayaan filem berkenaan mencatat pungutan RM5 juta dalam masa lima hari tayangan sebagai hasil kerja berkumpulan.

Melihat kejayaan dicapai naskhah arahan Syafiq Yusof itu sebagai sesuatu yang luar biasa, artis serba boleh berkenaan juga sesekali tidak menganggap kutipan pecah panggung filem itu kerana dirinya diangkat sebagai teraju utama.

“Saya melihat pencapaian ALF2 sebagai kejayaan cukup luar biasa. Ia melebihi pencapaian filem lain yang pernah diterbitkan di Malaysia sebelum ini. Sejarah baharu tercipta menerusi filem berkenaan.

“Bagi pihak produksi, saya amat berbesar hati untuk mengucapkan tahniah atas kejayaan awal ini. Tidak lupa kepada artis dan tenaga kerjaya yang terbabit merealisasikan filem berkenaan,” katanya kepada BH Online.

Selain Zizan, naskhah terbitan Skop Production Sdn Bhd dengan kerjasama Astro Shaw Sdn Bhd itu turut membariskan Syamsul Yusof, Shuib, Wak Doyok, Datuk AC Mizal, A Galak, Achey dan Tania Hudson.

Filem itu mula menemui penonton negara ini pada 24 Ogos lalu.

Bintang kelahiran program Raja Lawak itu juga berkata, beliau tidak mampu mencipta kejayaan berkenaan secara berseorangan, tanpa sokongan semua pelakon dan tenaga produksi.

“Ia semestinya takkan mampu dicapai tanpa Syafiq yang menjadi orang penting kepada filem ini, selain sokongan Datuk Yusof Haslam sebagai penerbit,” katanya.

Selepas muncul dalam 22 filem dan sebahagiannya berupaya mencatat kutipan tinggi di pawagam, justeru apakah Zizan kini muncul antara bintang dengan bayaran paling mahal di Malaysia?

“Soal bayaran itu terlalu peribadi untuk dikongsi dan susah untuk saya jawab. Namun, buat masa ini, saya berpuas hati dengan hasil kerja lakonan saya. Pada masa sama, ada lagi ruang untuk saya memperbaiki kelemahan yang ada. Jujurnya, bukan soal duit yang perlu ditekankan, sebaliknya pencapaian.

“Ada juga beberapa filem lakonan saya yang kecundang. Jadi, saya melihat semua itu dari sudut usaha saya sendiri sebagai pelakon. Saya akan berusaha memberikan tumpuan terbaik supaya apa yang diingini, termasuk kejayaan sesebuah filem lakonan saya terus dapat dicapai,” katanya.

Bakat anak kelahiran Terengganu ini turut menganggap kutipan besar dilakukan naskhah terkini lakonannya itu sebagai isyarat dirinya memang serius untuk menjadi pelakon filem.

“Alhamdulillah, Allah makbulkan doa saya. Saya memang nak jadi bintang filem dan membantu produksi lakonan saya mencatat kutipan memberangsangkan.

“Begitupun semua itu bukan tiket untuk saya menjadi angkuh dan lupa diri. Apapun, berita kejayaan ALF2 ini betul-betul buat saya tersenyum manis,” katanya yang ketika ini mempersiapkan dirinya bagi memulakan penggambaran Polis Evo 2.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.