Hafiz Beraya Solo

Sejak beberapa minggu ini, kisah rumah tangga Hafiz Hamidun menjadi antara isu paling hangat yang diperkatakan dalam industri hiburan tanah air.

Biarpun sudah mengadakan sidang media khas untuk memberi penjelasan lanjut tentang apa yang berlaku, masih banyak kenyataan berbaur provokasi menjalar di laman sosial berhubung hal dalam kelambu dalam penyanyi yang juga komposer popular itu dihakimi para juri tidak bertauliah.

Namun, lelaki berusia 33 tahun itu lebih gemar mengambil pendekatan berdiam diri. Dia mahu meneruskan kehidupan seperti biasa malah sambutan Hari Raya Aidiladha hari ini langsung tidak terjejas dek pekung perkahwinannya yang sudah terbongkar baru-baru ini.

Katanya, hari raya adalah antara masa terbaik untuk memenuhkan fikiran dengan hal-hal bahagia dalam hidupnya selain kes bubar pernikahan, sah atau tidak sah yang masih menunggu prosiding perbicaraan di mahkamah.

KOSMO!: Adakah Hafiz berasa lega selepas segala kekusutan perkahwinan sudah dijelaskan sewaktu sidang media khas tempoh hari?

Sebenarnya tiada isu berbangkit tentang hal itu yang perlu saya komen. Semua yang boleh saya kongsi dengan peminat dan media telah diberitahu pada sidang media itu jadi kita tunggu sahaja keputusan mahkamah pada 14 September ini.

Saya sudah malas hendak menyemakkan fikiran tentang hal itu dan menyerahkan semuanya kepada pihak yang lebih arif dan berkuasa.

Apakah perasaan anda menyambut Hari Raya Haji Aidiladha sendirian sedangkan sewaktu Aidilfitri ditemani ‘isteri’ dan anak tiri?

HAFIZ: Perasaan biasa sahaja, tiada sedih atau ralat kerana apa yang berlaku bukan dalam kawalan saya.

Saya masih gembira hendak beraya kerana ramai lagi kawan dan keluarga yang ada untuk memeriahkan suasana raya saya. Lagipun, sebelum ini saya memang sambut raya dengan status ‘bujang’ jadi tiada apa yang pelik sangat apabila beraya sendirian (solo).

Secara peribadi, apakah erti pengorbanan buat anda?

Pada saya, pengorbanan yang sejati ialah apabila ia dibuat dengan penuh kasih sayang dan rasa cinta tidak kira berkaitan hal apa sekali pun. Setiap pengorbanan itu perlu disertakan dengan rasa rela barulah ia memiliki makna dan tidak sia-sia.

Tidak ada pengorbanan yang dapat lari daripada kesakitan atau kepahitan namun jika ia dilakukan dengan ikhlas, maka manisnya akan dirasai pada masa hadapan.

Apakah pengorbanan terbesar anda sebagai seorang lelaki?

Saya korbankan masa remaja untuk bekerja dan membina empayar sendiri. Pada saat rakan-rakan masih berseronok dan mempunyai masa untuk bersosial, pada usia 18 tahun saya sudah mula membentuk kerjaya. Namun, saya tidak pernah menyesal kerana hasilnya pada hari ini. Banyak impian saya telah tercapai dan mampu membahagiakan kedua ibu bapa.

Saya bersyukur kerana Allah berikan peluang untuk saya mengejar impian dan mengajar saya erti kepayahan dalam hidup sebelum berjaya. Dalam erti kata lain, pengorbanan itu berbalas kerana saya buat dengan ikhlas dan reda.

Boleh kongsikan pengalaman Hari Raya Aidiladha termanis pernah anda alami?

Pastinya sambutan tahun lepas apabila saya dijemput menjadi tetamu Allah untuk mengerjakan rukun Islam kelima dan beraya di sana.

Perasaan itu sesuatu yang sukar untuk diterjemahkan, ia sangat berharga kerana diberi nikmat menyambut raya di Tanah Suci Mekah.

Setiap kali teringat saat itu, saya tidak akan lupa mengucap syukur dan terima kasih kepada Tuhan kerana pada usia yang masih muda saya telah diberi rezeki menunaikan ibadah haji.

Di manakah anda menyambut Hari Raya Aidiladha tahun ini?

Seperti tahun-tahun lepas, saya pulang ke kampung di Teluk Intan, Perak pada pagi raya sebaik sahaja tamat program langsung Nasi Lemak Kopi O.

Saya juga bercadang untuk bercuti selama beberapa hari untuk menziarahi kawan-kawan dan kaum keluarga kerana sewaktu Aidilfitri hanya dapat cuti sehari. Insya Allah, saya akan melakukan ibadah korban untuk tahun ini.-Kosmo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.