Aplikasi Nombor Giliran Elak Pesakit Tunggu Lama

IPOH  – Aplikasi yang memudahkan orang ramai mendapatkan nombor giliran secara dalam talian ketika mereka hendak mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan kerajaan akan dilaksana tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata aplikasi itu merupakan inisiatif kementeriannya untuk menangani masalah orang ramai beratur terlalu lama untuk mendapatkan nombor giliran selain mengelak berlaku kesesakan di dalam klinik, lapor Bernama.

“Ada yang terpaksa datang pukul 6 pagi dan berdiri sampai ke pintu untuk mendapatkan nombor giliran. Ini langkah kita nak mudahkan pesakit. Sekiranya projek ini berjaya kita akan kembangkannya ke klinik kesihatan lain di seluruh negara.

“Aplikasi ini akan memberitahu nombor giliran terkini. Sebagai contoh sekarang nombor (giliran) 40, jika nombor pesakit 80, dia (pesakit) perlu bersedia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Jasamu Dikenang Budimu Ditatang sebagai meraikan 333 bekas kakitangan Jabatan Kesihatan Perak.

Katanya, Klinik Kesihatan Seri Kembangan dipilih untuk projek perintis itu yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat sebelum sistem itu diperluaskan di klinik kesihatan lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.