Amanah Terindah Nora Ariffin

BERPISAH kasih dengan orang tersayang bukan perkara mudah untuk ditelan. Baik bercerai kasih atau terpisah dek tercabutnya nyawa daripada badan, kedua-duanya sama menyakitkan. Apatah lagi jika hampir separuh usia kehidupan dihabiskan bersama.

Namun, berpisah mati pastinya meninggalkan bekas luka yang paling dalam. Terpisah antara dua alam, hanya doa menjadi jambatan rohani bagi menyampaikan dendam rindu yang menggunung dalam dada.

Itu fasa paling sukar yang harus dilalui penyanyi popular, Nora Ariffin sejurus pemergian suami merangkap tulang belakang dalam kariernya selama ini, Johan Nawawi.

Selama 24 tahun hidup bersama sebagai suami isteri, Johan bukan sahaja suami, bahkan sahabat sehati jiwa, pendorong paling ampuh sepanjang pendakian karier Nora dalam industri hiburan.

Johan yang merupakan komposer terkenal meninggal dunia pada tanggal 24 Mac 2017 lalu pukul 6.30 pagi akibat serangan jantung. Pemergiannya pada hening Subuh Jumaat itu mengejutkan semua pihak, terutama karyawan dan peminat. Namun, lebih hebat pastinya kesan terhadap keluarga yang ditinggalkan.

Kini, sedar atau tidak, sudah lima bulan Johan berpulang ke negeri abadi. Selama tempoh tersebut, Allahyarham telah memahatkan erti tabah buat seorang wanita dan balunya yang harus terus hidup tanpa lelaki bergelar suami.

Semangat

Di pundak wanita itu, dialah ibu dia juga ayah. Itulah pengorbanan besar yang perlu dilakukan Nora. Dia tunjang kebahagiaan dan kekuatan anak-anaknya.

“Ini kali pertama kami mengadakan fotografi keluarga tanpa Johan. Selama ini, tidak pernah potret kami sekeluarga dibingkaikan tanpa beliau. Sesibuk mana pun, kami akan berusaha mencari tarikh sesuai agar gambar sekeluarga lengkap,” tutur Nora perlahan mengatur butir bicara.

Bertemu dalam sesi fotografi yang diaturkan Kosmo! baru-baru ini, Nora ditemani empat orang cahaya matanya iaitu Mohd. Syakir Iman, 24, Mohd. Syakir Alif, 18, Putri Nur Dahlia, 13, dan Putri Nur Fatehah, 5.

Sedikit kekok kerana harus mempersiapkan diri dan anak-anak pada masa sama, terserlah depan mata betapa sibuknya Nora mengendalikan keluarga secara sendirian, sementelah anak bongsunya Fatehah sudah semakin petah berbicara meminta itu dan ini.

Memerhatikan wanita cekal itu, manisnya tidak bersisa. Dia tersenyum sebelum bercerita tentang kehidupan yang dilalui. Tanpa Johan, Nora harus akur membawa diri sebagai balu, walaupun peritnya hanya Tuhan yang mampu mengubat hati.

“Perkara pertama sudah tentu anak-anak. Mereka semakin menerima ketentuan bahawa papa (panggilan Johan) mereka sudah tiada. Selama 24 tahun Johan telah menjaga saya, jadi sekarang saya ambil alih tugas itu menjaga anak-anaknya pula.

“Saya juga sering meminta nasihat dan sokongan daripada rakan-rakan dan peminat yang turut mengalami nasib serupa.

“Melalui perkongsian dalam Instagram, ada yang mengalami nasib serupa. Ada juga yang sudah kehilangan suami selama lebih dua tahun tetapi masih tidak boleh reda. Dari situ, saya sedar semangat saya masih kuat untuk meneruskan hidup,” tuturnya panjang lebar.

Sesekali menahan sebak namun kelopak matanya tidak mampu menipu biarpun seteguh mana ia cuba bertahan, tetap ada genangan air yang menanti waktu untuk jatuh berjuraian.

Hikmah

Dalam tempoh empat bulan edah, Nora mengakui hampir setiap malam berendam air mata gara-gara berasa tidak betah menerima dugaan sehebat kematian.

Kesakitan tersebut kemudian perlahan-lahan dirawat dan disimpan kemas dalam sudut hati. Dia mahu mengunci semua penderitaannya di situ meskipun adakala, hati wanitanya terlalu lemah. Pernah juga Nora mempersoalkan takdir, apakah ujian tersebut satu hukuman Tuhan buat dirinya.

“Saya pernah ‘menyoal’ Tuhan, kenapa hidup saya jadi begini. Adakah kerana saya terlalu banyak dosa sehingga dihukum sebegini rupa.

“Sehinggalah saya kembali muhasabah diri dengan memikirkan hikmah pada kemudian hari. Apa sahaja yang berlaku dalam hidup, ada sebab dan kita perlu yakin serta tawakal dengan aturan Allah.

“Meskipun bukan mudah untuk diterima, namun ini adalah ketentuan. Mungkin sekarang belum nampak, tetapi siapa tahu hikmah yang menanti menjelang lima atau 10 tahun lagi,” tuturnya yang mengakui tugas paling mencabar ketika ini adalah membahagi kasih dan perhatian terhadap empat anaknya.

Enggan lagi menzalimi diri, pelantun lagu Dendam Dalam Diam itu kembali bangkit. Penyanyi yang sudah mengabdikan diri selama lebih 20 tahun dalam industri itu sudah kembali bersemangat menerima tawaran persembahan.

Hajat

Semua itu dilakukan demi memastikan kehidupannya sekeluarga dapat diteruskan meskipun pada awalnya, dia mengakui pernah timbul hasrat untuk berhenti menyanyi.

“Saya pernah di persimpangan dan terfikir untuk meninggalkan dunia seni sehinggakan mahu membuang semua baju persembahan kerana ia mengingatkan saya kepada suami,” lentur suaranya menahan gelora.

Berkongsi perkembangan terkini, Nora dalam perancangan untuk menyiapkan sebuah album tribut untuk suaminya berjudul Tribute Johan Nawawi 30 Tahun sempena usia penglibatan komposer itu dalam industri.

Bercerita lanjut, album tersebut akan dimuatkan dengan 29 buah lagu ciptaan Johan termasuk lagu-lagu daripada penyanyi tersohor Datuk Sheila Majid dan Datuk Siti Nurhaliza selain Nora sendiri.

“Kalau diikutkan, ini merupakan perancangan asal Johan untuk tahun ini namun tidak kesampaian. Jadi sekarang saya meneruskan projek ini bagi melengkapi hasratnya.

“Selain mahu menampilkan kelainan dengan mendapatkan khidmat komposer baharu Sirkhan, kerjasama ini juga terjalin selepas Johan sendiri pernah menyebut namanya yang dilihat mempunyai potensi besar dalam industri,” ceritanya sambil menambah album tersebut akan dilancar pada Oktober depan.

Bercerita serba sedikit tentang sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini, Nora berkata, dia akan pulang ke kampung halaman di Kota Bharu, Kelantan.

“Ini merupakan kali kedua saya dan anak-anak beraya tanpa suami di sisi selepas kali pertama melalui fasa itu pada sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Tahun ini, saya pulang ke kampung halaman bersama Putri dan Fatehah sahaja kerana kedua-dua anak lelaki saya bekerja. Saya pulang demi memenuhi hasrat ibu yang mahu mengorbankan seekor lembu untuk ibadah korban,” tutupnya mesra.-Kosmo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.