Agong Solat Sunat Aidiladha Di Kelantan

KOTA BHARU – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, di sini, pagi ini.

Keberangkatan tiba baginda jam 9.05 pagi diiringi Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Rizam Tengku Aziz, lapor BH.

Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hassanudin Hassan serta Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Muhammad Abdul Ghani.

Solat Aidiladha diimamkan oleh Imam Muda Masjid Al Sultan Ismail Petra, Abdul Bari Abdullah yang dihadiri lebih 5,500 jemaah.

Selesai solat, khutbah disampaikan Imam Tua masjid itu, Sabri Abdullah yang menekankan kepentingan ibadah korban pada Aidiladha.

Selain itu, Sabri berkata, rakyat seluruh negara perlu mengambil pengajaran daripada negara yang mengalami perpecahan supaya perkara sama tidak berlaku di negara ini.

Katanya, kesepakatan dan perpaduan adalah bukti kekuatan iman umat Islam yang mana perkara itu belum menjadi kenyataan memandangkan wujud percanggahan terutama dalam media sosial.

“Umat Islam digesa menjaga hubungan sesama kita dan sentiasa berhati-hati dalam menekan papan kekunci di media sosial.

“Penyebaran maklumat kini semakin luas dengan kemajuan teknologi dan sebarang penyebaran berita yang tidak sahih perlu dielakkan agar ia tidak menjadi fitnah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.