13 Sekeluarga Di Bom

Kabul – Tiga belas sekeluarga termasuk kanak-kanak maut manakala 15 lagi cedera dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS) yang membedil kediaman mereka ketika memburu Taliban di timur Afghanistan.

Menurut AFP, Tentera AS-Afghanistan berkata, ia kini melancarkan siasatan terhadap kejadian itu yang didakwa mereka membunuh berbelas-belas pemberontak yang bersembunyi di kediaman di Dasht-e-Bari itu, lewat Rabu (waktu tempatan), lapor Metro.

Kejadian itu hanya beberapa hari selepas Afghanistan mengakui tentera udaranya sendiri membunuh sehingga 13 orang dalam serangan berasingan yang menyasarkan pangkalan Taliban di Herat.

Jurucakap kerajaan wilayah Logar, Saleem Saleh, berkata: “Dalam kejadian terbaru ini, pasukan tentera AS diserang Taliban menyebabkan mereka membalas manakala penyerang terbabit berlari dan bersembunyi di rumah penduduk kampung itu.

“Namun tentera asing kemudian memanggil bantuan dan serangan udara dilancarkan terhadap kediaman orang awam menyebabkan ramai yang maut.”

Katanya, semua mangsa anggota keluarga sama manakala kebanyakan yang maut adalah wanita serta kanak-kanak.

Penduduk, Nazar Khan Kochi berkata, dia dikejutkan dengan bunyi dua letupan kuat menyebabkannya lari keluar untuk melihat apa yang berlaku.

“Rumah itu musnah sepenuhnya. Saya terlalu sedih, kami menarik keluar mayat wanita dan kanak-kanak dari runtuhan.

“Ia pembunuhan beramai-ramai dan tak seorangpun daripada mereka anggota Taliban,” katanya.

Gambar tersebar menunjukkan wanita dan kanak-kanak dikafankan sebelum dikebumi.

Jurucakap polis wilayah Logar Shahpoor Ahmadzai mengesahkan jumlah kematian.

Susulan itu, tentera AS berkata, ia melancarkan siasatan rasmi terhadap kejadian itu yang berlaku hanya tiga minggu selepas serangan udara yang didakwa membunuh 11 orang awam di Nangarhar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.