Petronas Dipelawa Teroka 10 Blok Minyak, Gas Di Indonesia

PUTRAJAYA – Syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dipelawa meneroka sepuluh blok baharu minyak dan gas di Indonesia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

 

Beliau berkata pelawaan tersebut yang melibatkan tujuh penerokaan di Zon Ekonomi Eksklusif (EZZ) dan tiga di kepulauan Natuna dibuat oleh Menteri Koodinator Maritim Indonesia Luhut Binsar Panjaitan dalam satu pertemuan mereka di pejabatnya di Perdana Putra, di sini, pada Selasa.

 

Bercakap pada sidang media selepas pertemuan dengan Luhut, yang juga Menteri Energi dan Sumber Daya Mineral Indonesia, Ahmad Zahid berkata dengan pelawaan tersebut, Petronas berpeluang menyertai tender terbuka oleh Pertamina, syarikat carigali minyak dan gas Indonesia, bagi penerokaan blok baharu minyak dan gas di beberapa lokasi lain.

 

Petronas juga berpeluang menggunakan kecanggihan teknologi yang dimiliki untuk meneroka 16 blok baharu yang dianggap sebagai ‘blok pengeluaran’, di mana walaupun ia telah mengecil tetapi melalui penggunaan teknologi baharu masih berupaya mengeluarkan hasil, katanya.

 

“Ia dianggap sebagai tawaran yang baik kerana Petronas juga secara asasnya memberi tumpuan kepada eksplorasi di negara-negara ASEAN kerana selain memudahkan pengurusan dan mengurangkan kos, ia juga dapat berkongsi silang budaya antara negara-negara terlibat,” katanya.

 

Ahmad Zahid berkata tawaran tersebut menjadi lebih menarik apabila kerajaan Indonesia bersetuju mengurangkan pertindihan beberapa aspek perundangan yang menjadi antara masalah kepada pelabur di republik itu.

 

Sementara itu beliau berkata pertemuan tersebut juga membuka lembaran baharu kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) apabila dibenarkan berunding secara terus dengan syarikat dan pengusaha arang batu di Indonesia, sekali gus memastikan bekalan bahan bakar berkualiti diperoleh secara berterusan.

 

Beliau berkata kedua-dua negara bersetuju supaya kerjasama TNB dengan Perusahaan Listrik Negara (PLN) Indonesia dibuat secara perniagaan kepada perniagaan (B2B) bagi menjamin kualiti dan mutu arang batu yang dibeli.

 

Timbalan Perdana Menteri berkata, Luhut sebagai menteri yang menyelaraskan soal tenaga dan hasil bumi Indonesia telah memberi jaminan jika usaha sama jangka panjang dapat dibuat, TNB dijamin akan mendapat bekalan arang batu mengikut spesifikasi yang dimahukan.

 

Sehubungan itu, katanya, satu jawatankuasa peringkat teknikal melibatkan TNB, PLN serta syarikat dan pengusaha perlombongan arang batu di Indonesia akan diwujudkan bagi memperincikan objektif tersebut.

 

Sementara itu, Luhut berkata usaha yang dilakukan Ahmad Zahid merupakan sesuatu yang amat dialu-alukan Indonesia kerana selain merapatkan lagi hubungan kedua-dua negara, ia juga menjanjikan keuntungan perniagaan.

 

“Kami ingin kerjasama antara Malaysia dan Indonesia menjadi lebih dekat, banyak kegiatan akan berkembang dan kita harap pelaksanaan kepada apa yang dipersetujui hari ini dapat dilaksanakan segera,” katanya. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.