Kawalan Keselamatan Diperketat Cegah Ancaman Militan IS

ALOR SETAR – Pihak polis akan memperketat kawalan keselamatan di seluruh negara pada 16 Sept ini sempena sambutan Hari Malaysia daripada ancaman militan Daish (militan IS).

 

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata pihak polis tidak menolak kemungkinan kumpulan militan terbabit akan melakukan kekacauan pada hari tersebut setelah cubaan mereka menggugat keselamatan negara sempena sambutan Hari Kebangsaan dipatahkan pihak keselamatan.

 

“Kita tidak menolak kemungkinan mereka nak tunjuk kehadiran mereka. Mereka boleh merencanakan sesuatu,” katanya kepada pemberita pada majlis serah terima tugas Ketua Polis Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri di sini hari ini.

 

Beliau berkata pihaknya sedang memantau beberapa individu yang berpotensi untuk mencetus gangguan.

 

“Mereka berada di bawah radar polis dan kita akan bertindak apabila sampai masanya,” katanya.

 

Sebelum ini tiga rakyat tempatan yang dipercayai anggota kumpulan Daesh ditahan kerana cuba melancarkan serangan di ibu negara, Selangor dan Pahang pada malam Ambang Merdeka.

 

Dalam majlis serah terima tugas itu, Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bukit Aman, Datuk Asri Yusoff menerima tugas selaku Ketua Polis Kedah yang baharu daripada Datuk Zamri Yahya berkuat kuasa hari ini.

 

Zamri Yahya pula mengambil tugas sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bukit Aman.

 

Asri, 58, pernah menjadi Timbalan Ketua Polis Kedah dari 2007 hingga 2010 sebelum dinaikkan ke pangkat Deputi Komisioner Polis dan menyandang jawatan Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bukit Aman pada 16 Dis 2013. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.