Bersih 4.0 Perlu Minta Maaf Kepada PAS – Zaid Ibrahim

Kuala Lumpur – Bekas menteri kabinet, Datuk Zaid Ibrahim menggesa penganjur perhimpunan Bersih 4.0 memohon maaf kepada PAS berhubung kejadian peserta perhimpunan memijak gambar presiden parti itu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

 

“Bersih mesti segera memohon maaf kepada PAS. Kejadian memijak (gambar) Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) merupakan insiden yang dikesali yang tidak boleh disalahkan pada Bersih, tetapi mohon maaf.

 

“Bukan sukar untuk memohon maaf apabila ia dapat membantu dalam mencapai pembaharuan yang diperjuangkan. Ahli PAS akan menghargai tindakan itu,” Zaid menulis di Twitternya hari ini.

 

 

Gambar Abdul Hadi yang disunting sedang berpelukan dengan Najib telah dipijak peserta wanita perhimpunan itu, Ahad lalu.

 

Gambar perlakuan peserta itu menjadi viral di internet, dan mengundang kemarahan ahli PAS dan juga orang awam yang melihat ianya satu tindakan yang biadap.

 

Susulan insiden biadap itu, PAS Wilayah Persekutuan membuat laporan polis terhadap penganjur perhimpunan Bersih 4 pagi tadi.

 

Selain menggesa pihak polis menjalankan siasatan, PAS Wilayah juga menuntut pihak yang terlibat meminta maaf secara terbuka kepada Hadi dan seluruh rakyat Malaysia.

 

Malah, Pemuda Umno turut sama mengutuk tindakan itu dan menggesa pihak berkuasa menggunakan apa saja bukti yang ada termasuk rakaman video dan gambar bagi mengheret pesalah terbabit ke muka pengadilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.