Aksi Pijak Gambar Presiden PAS Undang Suasana Tidak Harmoni

KOTA BHARU – Pemuda Pas Kelantan menggesa pihak penganjur perhimpunan Bersih 4.0 memohon maaf berhubung insiden memijak gambar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwa dilakukan beberapa individu yang berpakaian kuning seperti baju tema penyokong himpunan itu.

 

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, gambar dan video yang menunjukkan gambar Abdul Hadi diubahsuai seolah-olah berpeluk dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib itu kini menjadi viral dan tindakan itu disifatkan sebagai menghina pemimpin nombor satu parti Islam itu.

 

“Ini merupakan provokasi yang terlampau terhadap ahli dan penyokong Pas, kita bimbang jika pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan maka ia akan mengakibatkan satu suasana yang tidak harmoni dan mengganggu ketenteraman negara.

 

“Ia juga boleh mengakibatkan satu gelombang yang tidak baik dan kami tidak menolak kemungkinan ia menyemarakkan lagi tuduhan bahawa perhimpunan Bersih 4.0 ialah himpunan perkauman dan anti keamanan,” katanya kepada media di sini semalam.

 

Beliau hadir bersama kepimpinan Pemuda Kelantan dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dr Izani Husin di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu dan membuat laporan polis berkenaan isu tersebut pada jam  11 pagi.

 

Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pemuda Pas Pusat memberitahu, pihaknya menyokong tuntutan Bersih 4.0, sebagaimana yang dilakukan sebelum ini bagi menuntut kerajaan melakukan pembaharuan di dalam pilihan raya yang disifatkan masih dicemari oleh unsur-unsur yang tidak sihat.

 

“Namun dalam hal ini, kita cukup kesal dan berharap pihak penganjur tampil untuk membuat permohonan maaf kepada Pas dan Abdul Hadi kerana kami sebagai sayap utama cukup terkesan degan apa yang berlaku itu (insiden memijak gambar),” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.