Ahli PPS Yang Ditahan, Ada Rekod Jenayah Dan Positif Dadah

Pulau Pinang – Tiga daripada 156 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) kerajaan negeri yang ditahan semalam disahkan positif dadah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, mereka yang berusia antara 24 hingga 64 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine.

Difahamkan, beberapa anggota PPS yang ditahan semalam turut berada dalam senarai individu dikehendaki polis kerana mempunyai rekod jenayah.

Sementara itu, proses reman kesemua anggota PPS berkenaan sedang dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini.

Kira-kira 20 peguam diketuai Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh Deo dan RSN Rayer dilihat memasuki IPD Timur Laut awal pagi ini manakala keadaan di luar balai polis itu sesak dengan orang ramai.

Polis semalam menahan hampir 200 anggota PPS disiasat di bawah Akta Pertubuhan 1966 ketika menyertai sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri di Padang Kota Lama.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 26 Ogos berkata PPS tidak berdaftar bawah Akta Pertubuhan 1966 dan oleh itu dianggap pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Menurut Khalid, polis akan mengambil tindakan menangkap anggota PPS jika mereka meneruskan aktiviti pertubuhan haram itu.

Justeru, setelah dimaklumkan Pendaftar Pertubuhan (ROS), polis akan menyiasat aktiviti bawah kerajaan negeri itu dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang.

PPS mencetuskan kontroversi selepas ahli perniagaan Ong Eu Soon, 51, mendakwa diserang dua lelaki yang berpakaian seragam unit itu di Air Itam minggu lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.