Guan Eng Dinasihatkan Tidak Politikan Isu PPS

Kuala Lumpur – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diminta agar tidak mempolitikkan isu penangkapan 154 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) selepas perarakan Hari Merdeka di Pulau Pinang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang menahan 154 anggota PPS dilihat sebagai langkah terbaik menyahut cabaran Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam isu berkenaan.

“Ianya akan dapat dijadikan pengajaran agar jangan sesekali mempolitikkan soal keselamatan. Ia bukan permainan yang boleh dipermainkan sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak.

Saya lihat fungsi dan tugas PPS ini hanyalah untuk mengawal dan menjaga keselamatan Guan Eng sahaja,” katanya.

Irmohizam mengulas isu penahanan ahli PPS yang tampil lengkap dengan jaket keselamatan dalam perbarisan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 peringkat negeri Pulau Pinang.

Irmohizam berkata, PPS juga merupakan sebuah pertubuhan tidak berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Dalam pada itu, beliau mengkritik sesetengah pihak yang menyamakan PPS dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) yang ditubuhkan melalui Peruntukan Undang Undang.

“JKKKP bukanlah sebuah badan beruniform dan terlibat dalam kawalan keselamatan. Maka membandingkan penubuhan PPS dan JKKKP adalah satu perbandingan yang tidak masuk akal, tidak logik dan dibuat untuk menutup kesilapan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang telah menubuhkan serta menyalurkan geran kepada sebuah pertubuhan yang tidak diiktiraf oleh ROS,” tegasnya.

Tambahnya, penubuhan PPS oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga dilihat sebagai ‘drama’ untuk menjaga kebajikan dan keselamatan masyarakat setempat.

“Hakikatnya, PPS ini juga telah disalurkan wang rakyat sebanyak RM1 juta setahun dan diagihkan mengikut ADUN. Peruntukan ini, selain menyediakan peralatan tambahan, juga untuk menjaga kebajikan ahli PPS itu sendiri.

“Maka, ini gambaran jelas bahawa PPS merupakan satu badan bertopengkan kerja sukarelawan, tetapi pada hakikatnya mendapat imbuhan daripada wang pembayar cukai di negeri ini,” ujarnya.

Pada Isnin, sebuah akhbar melaporkan Guan Eng mencabar Khalid untuk berdebat secara terbuka berhubung isu penubuhan PPS.

Guan Eng dalam nada angkuh turut mempersoalkan sama ada pihak berkuasa akan menahannya seperti mana berlaku kepada Pengerusi PPS, Phee Boon Poh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!