Dua Pelajar Maut Motosikal Dihempap Pokok

Kuantan – Dua pelajar maut akibat dihempap sebatang pokok ketika masing-masing menunggang motosikal di Jalan Pintasan Kuantan petang semalam.

Seorang daripada mangsa ialah penunggang motosikal jenis Yamaha, Tun Muhammad Fakharuddin Mohd Jaiilani, 19, berasal dari Taman Mutiara Mahkota, Kuantan yang juga penuntut Kolej Komuniti Indera Mahkota di Kuantan.

Seorang lagi mangsa adalah penunggang motosikal jenis Honda EX5, Muhammad Lokman Hakim Ismail, 19, dari Sungai Isap Perdana di Kuantan, iaitu pelajar Tingkatan 6 di sebuah sekolah menegah di Kuala Lipis.

Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang DSP Mohd Noor Yusof Ali berkata, dalam kejadian jam 6.05 petang itu kedua-dua penunggang terbabit disahkan mati di tempat kejadian.

“Kemalangan dipercayai berlaku semasa kedua-dua penunggang motosikal terbabit yang melalui jalan tersebut dihempap sebatang pokok yang tiba-tiba tumbang dari bahu sebelah kiri jalan.

“Akibat itu kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan, ” katanya malam tadi.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat.

Sementara itu di Kangar, seorang wanita warga emas, anak perempuan dan cucu lelakinya terbunuh apabila motosikal yang mereka naiki bertembung sebuah kereta di persimpangan Kampung Bongor Kudung, Simpang Empat dekat Kangar malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar Superintenden Abdul Rahman Mohd Noordin berkata ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan jenazah mereka dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah untuk bedah siasat.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kereta Toyota Wish yang dipandu seorang lelaki tidak berhenti di persimpangan terbabit sebelum bertembung motosikal Yamaha Nouvo ditunggang Norlia Hashim, 42, dan dibonceng ibunya, Puan Chik, 76, dan anaknya, Dzul Fikar Dulkafle, 10.

“Norlia, yang bekerja sebagai kerani di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di pekan Simpang Empat, ibu dan anaknya cedera parah di bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, seorang saksi, Safudan Husin, 19, berkata beliau terdengar dentuman kuat dan seretan pada kira-kira 7.30 malam.

“Saya berlari keluar dan ternampak tiga orang terbaring atas jalan, motosikal jenis Yamaha Nouvo atas jalan manakala kereta Toyota Wish terbabas di tepi jalan dengan bahagian hadapan bucu kanan remuk,” katanya.

Rakannya, Mohd Anwar Zainol Abidin, 23, dan seorang wanita keluar membantu mengalihkan mangsa yang tertiarap manakala seorang peniaga di kawasan berdekatan menghubungi ambulans.

Ketiga-tiga mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Bongor Kudung selepas memancing ikan di kawasan sawah di Serdang, yang terletak berdekatan kampung berkenaan.

Bernama difahamkan pemandu Toyota Wish, yang cedera ringan, adalah dari Pahang dan datang ke Perlis untuk mendaftar masuk pelajar di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) esok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.