Dewan Ulamak Pas Selangor Mengutuk, Mahu Dua Adun ‘Belot’ Diambil Tindakan

Shah Alam – Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Selangor ke-26 semalam sebulat suara meluluskan usul mengutuk dan mengecam dua ADUN PAS yang menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar baru.
    
Menurut catatan Facebook terbaru Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor, usul itu akan diserah kepada Jawatankuasa Tatatertib PAS Pusat untuk diambil tindakan berdasarkan Fasal 82 Perlembagaan PAS (Pindaan) 2011.
    
Sebelum ini, ADUN Hulu Kelang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharuddin dilaporkan menandatangani Akuan Bersumpah menyokong pencalonan Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tanpa persetujuan dan pengetahuan PAS.
    
Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman, yang mengesahkan perkara itu, berkata pihaknya menjangka banyak lagi aduan dan usul akan dibuat serta dihantar kepada Jawatankuasa Disiplin parti berhubung tindakan dua ADUN berkenaan.
    
“Kita tahu ada lagi usaha untuk memancing ADUN kita di Selangor. Kita ada maklumat lengkap siapa terlibat dan kita akan dedahkan nama pelobi ini jika permainan ini tidak dihentikan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
    
Kemelut politik di Selangor menjadi lebih tegang apabila Abdul Khalid diminta meletak jawatan setelah didakwa kehilangan sokongan 30 ADUN termasuk dua daripada PAS.
    
Berikutan itu, pada Selasa lepas, Abdul Khalid menyatakan hasrat kepada Sultan Selangor untuk melepaskan jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, Sultan Sharafuddin Idris Shah menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan beliau sehingga pelantikan menteri besar baharu dibuat.
    
Baginda turut menitahkan PAS, DAP dan PKR masing-masing mempersembah lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar selewat-lewatnya 3 Sept ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.