KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia diingatkan supaya tidak sekali-kali bersenang diri dan memandang ringan “espionage” (perisikan) dan “political assassination” (pembunuhan politik) Israel ini semata-mata kerana negara kita terletak jauh daripadanya.
Wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin berkata, tidak tahulah sama ada pembunuhan Ismail Haniyeh ini akan memberi kesan kepada usaha Kerajaan Malaysia Madani menjual 25 peratus saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners Incorporated.
“Agen perisikan Israel dipercayai terlibat dalam pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, di kediamannya di Tehran, semalam. Kita memohon kepada Allah agar meredai perjuangannya dan meletakkannya di kalangan orang yang mati syahid.
“Pembunuhan Almarhum, sekali lagi mengingatkan kita dan memberi amaran mengenai kekejaman dan bahaya Israel.
“Kita jangan sekali-kali bersenang diri dan memandang ringan “espionage” (perisikan) dan “political assassination” (pembunuhan politik) Israel ini semata-mata kerana negara kita terletak jauh daripadanya,” katanya memberi peringatan.
Hatta sekarang pun kita sedang membicarakan seorang warganegara Israel, Avitan Shalom, atas tuduhan memiliki dan mengedar senjata api, ujar A.Kadir.
“Dari segi undang-undang, warganegara Israel tidak boleh masuk ke negara kita. Namun dengan tipu helah dia berjaya masuk.
“Pihak Imigresen membenarkannya masuk kerana dia menggunakan pasport Perancis. Ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sendiri yang kata.
“Pada bulan April 2018, agen agensi pengintipan Israel, Mossad, dipercayai terlibat dalam pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur-British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr Fadi M R Albatsh Fatma di ibu negara kita.
“Tidak tahulah sama ada pembunuhan Ismail Haniyeh ini akan memberi kesan kepada usaha Kerajaan Malaysia Madani menjual 25 peratus saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners Incorporated,” kata beliau.
Menurut A.Kadir lagi, GIP ini sedang dalam proses dibeli 100 peratus oleh BlackRock Incorporated.
“BlackRock ini pula terbukti mempunyai kaitan ideologi dan perniagaan yang rapat dengan Israel. Akhbar Financial Times, London pernah melabelkan pengurusan BlackRock sebagai “Little Israel”.
“Kira-kira setahun lalu, The Times of Israel melaporkan yang BlackRock telah mengambil alih Kreos Capital. Tabung pelaburan Uk-Israel ini menyediakan modal kepada syarikat-syarikat pemula(startups) Israel dan Eropah.
“BlackRock juga adalah antara perniagaan antarabangsa yang disenaraikan oleh Bangsa-bangsa Bersatu sebagai pembiaya kepada pembekal kelengkapan perang Israel.
“Pembiayaan teknologi dan pembekal senjata seperti inilah yang menjadikan Israel canggih di segi persenjataan dan membolehkannya melakukan pembunuhan politik di luar negara dengan mudah,” katanya.
Mengulas mengenai pembunuhan Ismail Haniyeh, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Almarhum sebagai tonggak perjuangan pembebasan rakyat Palestin yang ditindas Israel.