KUALA LUMPUR – Israel tidak membunuh Ismail Haniyeh tetapi mereka telah menghantarnya ke syurga seperti dijanjikan oleh Allah kepada mereka yang gugur syahid.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Noor berkata, dengan gugurnya Ismail Haniyeh tentunya rejim Israel menyangka mereka telah berjaya membunuh ‘otak utama’ pergerakan Hamas dan ini akan melumpuhkan operasi kumpulan pejuang itu di Gaza.
“Tanpa mereka sedari kekejaman mereka hanya akan mengundang tindak balas yang lebih dahsyat.
“Berpuluh malah mungkin beratus lagi ‘Ismail Haniyeh’ akan dilahirkan.
“Itulah janji Allah terhadap perjuangan mereka yang ikhlas di Palestin yang akan terus menunggu giliran syahid masing-masing.
“Israel tidak membunuh Syeikh Ismail tetapi mereka telah menghantarnya ke syurga. Berbahagialah tuan di sana,” ucap Sanusi dalam kenyataan media, semalam.
Justeri katanya, Kerajaan Negeri Kedah mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Syeikh Ismail Haniyeh di kediamannya di Teheran, Iran, semalam.
“Serangan yang turut meragut nyawa pengawal peribadi Ketua Biro Politik Hamas yang juga bekas Perdana Menteri Palestin itu perlu disiasat secara lebih mendalam.
“Ini kerana Kerajaan Republik Islam Iran diketahui mendukung kuat perjuangan Hamas serta amat menjaga keselamatan pemimpin Palestin itu. Ini cabaran baru yang getir bagi Presiden Iran yang baru dilantik, Masoud Pezeshkian.
“Berita gugurnya pemimpin paling kanan Hamas ini sudah tentu membuat kita semua berasa sedih dan terkilan.
“Namun sebagai orang beriman kita seharusya sentiasa meyakini janji Allah, dalam ayat 23 Surah Al Ahzab: “Antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa-apa yang telah dijanjikan oleh mereka kepada Allah (untuk berjuang membela Islam).
“Maka antara mereka, ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid) dan antaranya, ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa-apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun,” katanya.