NEW YORK – Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara terbuka menyalahkan Amerika Syarikat (AS) di atas kematian pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.
Wakil Tetap Iran ke PBB, Saeed Iravani dalam ucapannya pada mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB pada Rabu, bahkan turut mendakwa, pembunuhan Ismail juga tidak mungkin berlaku tanpa kebenaran AS dan sokongan perisikan.
“Tanggungjawab Amerika Syarikat sebagai sekutu strategik dan penyokong utama rejim Israel di rantau ini tidak boleh diabaikan dalam jenayah ngeri ini,” kata Saeed.
“Israel juga mengejar (matlamat) politik dengan tindakan ini yang bertujuan mengganggu hari pertama kerajaan baharu Republik Islam Iran yang mengutamakan pengukuhan keamanan dan kestabilan di rantau ini selain meningkatkan kerjasama dan penglibatan konstruktif dengan komuniti antarabangsa,” tambah Iravani.
Pasukan pejuang Hamas pada Rabu berkata, pemimpin tertingginya, Ismail terbunuh dalam serangan yang dipercayai menjadi sasaran peluru berpandu di ibu negara Iran, Tehran.
Awal hari ini, Timbalan Duta Besar AS ke PBB, Robert Wood pula dilaporkan berkata: “Amerika Syarikat tidak menyedari atau terlibat dalam kematian pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh,” sambil menambah bahawa AS juga “tidak mempunyai pengesahan secara bebas mengenai dakwaan Hamas mengenai kematiannya.”
Malah, Wood menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk menyokong apa yang disebutnya sebagai “hak Israel untuk mempertahankan diri daripada serangan” daripada kumpulan seperti Hezbollah.
Beliau turut menyeru majlis itu untuk meminta Iran bertanggungjawab atas sokongannya terhadap kumpulan tersebut serta dakwaan melanggar undang-undang antarabangsa.
“Israel mempunyai hak untuk mempertahankan diri daripada serangan daripada Hezbollah, dan pengganas lain,” kata Wood.
“Itulah yang dilakukan pada 30 Julai,” lapor CNN.
Wood berkata, walaupun AS tidak terlibat dengan tindak balas Israel pada 30 Julai di Lubnan, “tidak syak sama sekali Hezbollah bertanggungjawab atas serangan ini, yang menggunakan senjata Iran dan dilancarkan dari bahagian Lubnan yang dikawal oleh Hezbullah. ”
Kata Wood, Iran juga perlu mematuhi resolusi Majlis Keselamatan sedia ada atau menghadapi langkah tambahan.
Dalam masa sama, beliau berkata: “Amerika Syarikat tidak menyedari atau terlibat dalam kematian pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh,” sambil menambah bahawa AS juga “tidak mempunyai pengesahan secara bebas mengenai dakwaan Hamas mengenai kematiannya.”