KUALA LUMPUR – Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia(Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak menghalalkan yang salah dengan menormalisasikan budaya rasuah.
Ahli Parlimen Muar itu menegaskan pengumuman peruntukan RM550,000 oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Dungu baru-baru ini sebagai ‘rasuah’ untuk PRN.
“Kepada Perdana Menteri, ini ada tidak benar, ini tidak betul kerana jelas dalam ucapan Zahid bantuan akan diberikan bersyarat iaitu perlu menyokong gelombang biru dan merah PH-BN pada 12 hari bulan. 12 hari bulan tarikh mengundi PRN.
“Kalau tidak kena mengena dengan PRN, 12 hari bulan tu ada apa? Kalau tiada kena mengena PRN kenapa bantuan bersyarat dengan menyokong gelombang PH-BN?
“Lagi dahsyat siap boleh janji ‘top up’ kalau koalisi PH-BN menang besar,” bidas Syed Saddiq dalam video yang dimuat naik di Twitternya, semalam.
Beliau malah mengingatkan laungan reformasi yang dilaungkan Perdana Menteri dan PH sebelum ini.
“Dulu kata nak tolak politik gula-gula pilihan raya, nak tolak budaya ‘cash is king’ tetapi kini mana reformasi?
“Ini bukan reformasi. Ini normalisasi rasuah.
“Datuk Seri (Anwar)jangan pertahankan yang salah, jangan halalkan yang salah jangan normalisasikan rasuah, yang salah tetap salah,” tegas beliau.
Kelmarin, Anwar berkata, peruntukan lebih RM500,000 yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Terengganu Jumaat lalu, tiada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Perdana Menteri menegaskan peruntukan yang diumumkan Zahid kepada beberapa persatuan di negeri itu adalah sebahagian daripada program kerajaan Persekutuan dan diumumkan sebelum penamaan calon PRN bermula.
Sehubungan itu, Anwar meminta semua pihak berlaku adil kerana kerajaan Persekutuan tidak boleh menangguhkan program dan peruntukan yang sudah dirancang sejak sekian lama, hanya kerana PRN berlangsung.
“Penamaan calon Sabtu. (Urusan) kerajaan masih berjalan. Seperti yang saya umum (peruntukan perluas program Rahmah), dia tak ada kena mengena dengan PRN
“Ada orang cadang tak boleh umum langsung. Tak boleh. Saya Perdana Menteri jaga negara sepenuhnya, kalau penting kita umum.
“Tapi saya sudah beritahu tak boleh guna jentera negeri kempen di negeri mulai semalam, hari penamaan calon sehingga hari mengundi. Itu keputusan jemaah menteri,” katanya.
Dalam ucapan itu, Zahid mengumumkan geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), selain meluluskan RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu serta RM200,000 bagi kelab bermotosikal di negeri itu.
Bagaimanapun, peruntukan itu menimbulkan polemik selepas Ahmad Zahid mengatakan peruntukan itu mungkin ditambah sekiranya kumpulan belia ‘mengikut gelombang biru dan merah di Terengganu pada 12 Ogos nanti.’
Bahkan, media melaporkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan peruntukan kerajaan Persekutuan kepada belia Terengganu itu adalah tidak menyalahi undang-undang atau berunsur rasuah.
Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan banyak program dan peruntukan yang diumumkan kerajaan Persekutuan sudah dirancang sejak beberapa bulan sebelumnya dan tidak boleh ditangguhkan hanya kerana PRN berlangsung.