Pejabat Sendiri Keluarkan Memo, Tapi Menteri Dakwa Tak Tahu Arahan Henti Langgan Utusan

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mendakwa beliau tidak tahu-menahu mengenai adanya memo arahan dari pejabatnya sendiri yang mengarahkan dihentikan langganan akhbar Utusan Malaysia.

Portal FMT dan beberapa media lain sebelum ini mendedahkan memo arahan tersebut ditandatangani Wan Saiful Wan Jan, Penasihat Khas kepada Dr Maszlee ditujukan kepada semua agensi, sekolah, universiti, kolej dan semua institusi di bawah Kementerian Pendidikan.

“Saya tak pasti tentang memo itu, mana anda (wartawan) dapat maklumat tersebut?

“Sepanjang hari saya ada di sini (Parlimen), jadi saya tidak tahu, saya kena semak semula,” kata Dr Maszlee seperti dilaporkan FMT dan Utusan.

Mengulas lanjut, Dr Maszlee berkata beliau akan menyemak kesahihan memo tersebut namun di masa yang sama seperti mengiakan kewujudan arahan berkenaan.

“Saya kena tanya dululah, sebab kita dalam langkah berjimat-cermat, surat khabar sekarang ni pun boleh tengok online,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, arahan melarang langganan akhbar Utusan itu dilihat agak bercanggah dengan laungan kebebasan media dan hak bersuara yang sering dilaungkan oleh pemimpin PH sebelum ini.

Pada 14 Julai lalu, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata Malaysia kini melalui transisi politik untuk menjadi sebuah negara demokrasi matang dan media memainkan peranan penting dalam membantu merealisasikan objektif itu.

Menurutnya lagi, kerajaan PH hari ini juga lebih terbuka, bersahaja serta bersedia untuk menerima kebebasan media.

“Wartawan tak perlu risau akan menerima panggilan daripada PMO (Pejabat Perdana Menteri) atau daripada menteri-menteri lain,” katanya.

Sebelumnya pada 28 Mei, Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Gobind Singh Deo pula berkata media negara ini perlu diberi lebih kebebasan untuk membuat liputan termasuk mengkritik kerajaan.

“Media merupakan suara kepada rakyat dan kerajaan perlu bersedia menerima kritikan untuk kita boleh lakukan pembaharuan,” katanya.

Kata-kata laungan kebebasan media nampaknya kini sekadar illusi kerana tindakan kerajaan PH menerusi memo arahan Menteri Pendidikan itu jelas bercanggah dengan jaminan lain-lain menteri dan polisi PH itu sendiri. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.