Tabung Haji Sedia Perkhidmatan Terbaik Untuk Keselesaan Jemaah

MAKKAH – Bagi memastikan keselesaan jemaah haji semasa di Tanah Suci Makkah, Tabung Haji (TH) membuat perancangan rapi termasuk menyediakan bilik penginapan dan kemudahan lain agar dapat memberikan perkhidmatan terbaik.

Dalam lawatan ke beberapa maktab penginapan jemaah di Makkah, para petugas media rombongan TH diberikan penerangan oleh pengurus maktab dan ditunjukkan keadaan bilik jemaah haji.

Di setiap bilik, jemaah dibekalkan kit minuman seperti teh, kopi serta susu serbuk untuk bekalan selama sebulan, jadual waktu solat, program ceramah, kunjungan pasukan pembimbing dan kaunselor selain beberapa maklumat bagi memudahkan pergerakan mereka semasa berada di kota suci ini.

Pengarah Operasi Maktab 1438 Hijrah, Mohd Nasir Mohd Yusoff berkata pada musim haji tahun ini, 13 maktab penginapan disediakan untuk jemaah Malaysia melibatkan 24 bangunan hotel.

“Kita mahu memastikan keselesaan dan kepuasan jemaah haji di tahap tinggi. TH juga membekalkan jadual aktiviti harian sehinggalah tarikh mereka berlepas pulang ke tanah air. Bila semua ini diselesaikan, jemaah akan dapat menumpukan sepenuhnya pada ibadah,” katanya kepada pemberita di sini.

Mohd Nasir berkata setiap maktab berkenaan menempatkan purata kira-kira 2,700 jemaah yang ditentukan pengendali jemaah haji di Arab Saudi, Muassasah Asia Tenggara yang bertanggungjawab menguruskan jemaah haji dari rantau itu.

Katanya, TH juga menitikberatkan pelbagai perkara penting termasuk menawarkan kaunter kewangan, bilik rawatan dan sajian makanan, selain aspek nilai tambah​​​​​​ seperti menyediakan perkhidmatan telekomunikasi dan penghantaran bagasi ke tanah air.

TH juga menyediakan peta lokasi maktab penginapan jemaah serta laluan berulang-alik ke Masjidil Haram, katanya.

Beliau juga berkata 13 maktab penginapan itu terletak dalam lima zon, dengan jarak ke Masjidil Haram adalah antara 500 hingga 900 meter.

Lima zon berkenaan ialah Zon A Shuib Amir merangkumi lima hotel, Zon B Aiyad Quraihs/Al-Sud (tiga), Zon C Aiyad Bir Balillah/Masafi (lima), Zon D Misfalah (sembilan) dan Zon E Hafaér (dua).

Mohd Nasir berkata buat pertama kali pada musim haji kali ini, setiap jemaah dibekalkan dengan lanyard (tali penyandang lencana pengenalan diri) berbeza warna mengikut maktab penginapan masing-masing bagi memudahkan TH memantau pergerakan jemaah haji berikutan pertambahan kuota jemaah Malaysia kepada 30,200 orang musim ini. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.