Zika Makin Serius di AS

MIAMI, Florida – Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) kelmarin meminta aktiviti menderma darah di sekitar Miami dihentikan buat sementara waktu sehingga siasatan ke atas empat kes tempatan Zika selesai.

 

Virus Zika bawaan nyamuk Aedes boleh menyebabkan sindrom mikrosefali atau kecacatan otak bayi baru lahir.

 

Sekiranya disahkan, keempat-empat kes tersebut akan menjadi jangkitan tempatan pertama Zika di AS.

 

Sebelum ini, wilayah AS, Puerto Rico menyaksikan peningkatan mendadak jangkitan tempatan virus Zika yang disebarkan oleh nyamuk Aedes atau melalui hubungan seks.

 

“Mengambil kira kemungkinan berlakunya penularan virus Zika tempatan dan sebagai langkah pencegahan bagi memastikan keselamatan darah dan produk darah, FDA meminta semua pertubuhan darah di Daerah Miami-Dade dan Broward berhenti mengumpulkan darah serta-merta,” kata Pentadbiran Makanan dan Ubat AS (FDA) dalam satu kenyataan.

 

“Penangguhan ini akan diteruskan sehingga setiap unit darah yang dikumpulkan di kedua-dua daerah itu diuji untuk virus Zika atau sehingga pertubuhan darah tempatan dapat menggunakan teknologi pengesanan kuman yang telah diluluskan,” tambahnya.

 

Dua daripada kes yang disyaki jangkitan tempatan itu dikesan di Daerah Miami-Dade County dan dua lagi di Daerah Broward yang terletak di utara Miami.

 

FDA turut berkata, sesiapa yang membuat perjalanan ke Miami-Dade atau Broward dalam tempoh empat minggu lalu dilarang daripada menderma darah.

 

“Selain itu, FDA juga mencadang­kan daerah-daerah yang berjiran dengan Miami-Dade dan Broward supaya melaksanakan langkah-langkah pencegahan secepat mungkin bagi membantu memastikan bekalan darah kekal selamat,” kata agensi persekutuan itu.

 

Florida sebelum ini merekodkan sebanyak 381 kes Zika tetapi kesemua­nya melibatkan individu yang dijangkiti ketika berada di negara-negara yang mengalami wabak Zika. – AFP

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.