DAP Salahkan PKR?

PULAU PINANG – DAP seolah-olah menyalahkan PKR ekoran kegagalan parti itu meneruskan hasrat mengadakan pilihan raya negeri (PRN) mengejut di negeri ini.

 

Lim Guan Eng dalam sidang akhbarnya di sini hari ini, Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya, Lim Guan Eng berkata, parti itu terpaksa membatalkan hasrat mengadakan PRN tersebut selepas tidak mendapat persetujuan PKR.

 
Beliau yang juga Ketua Menteri menambah, keputusan tidak bersetuju itu dimaklumkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kepada beliau semalam yang bimbang akan hilang lebih ba­nyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding DAP.

 
“Selain itu, kita juga tidak bersetuju dengan permintaan PKR supaya DAP menyerahkan sekurang-kurangnya satu atau dua kerusi DAP kepada parti itu sekiranya mahu diadakan PRN.

 
“Berikutan tidak ada persetujuan PKR kepada pilihan raya negeri, DAP tidak akan meneruskan cadangan untuk mengadakan pilihan raya negeri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

 
Sebelum ini, hasrat DAP me­ngadakan PRN mengejut kononnya bagi mengembalikan semula mandat kerajaan negeri kepada rakyat ekoran pertuduhan dua kes rasuah Guan Eng menyebabkan hubungan parti itu dengan PKR goyah.

 
Selain tidak dimaklumkan secara terpe­rinci berkenaan PRN itu, PKR juga menyatakan rasa tidak yakin dengan hasrat radikal DAP tersebut apatah lagi dengan kemungkinan parti berkenaan bakal kehilangan lebih banyak kerusi DUN di negeri ini.

 
Kebimbangan itu berasaskan situasi semasa pembangkang khususnya selepas ketiadaan Pas selain kekalahan teruk pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar sebelum ini.

 
Malah, beberapa pemimpin PKR turut menempelak pemim­pin DAP berhubung hasrat itu kerana didakwa tidak merujuk kepada parti tersebut terlebih dahulu.

 
Ketika ini, kerusi DUN negeri ini dibarisi 19 DAP, 10 PKR dan 1 Pas manakala Barisan Nasional (BN) sebagai pembangkang pula mempunyai 10 kerusi.

 
Sekiranya PRN diadakan, PKR berkemungkinan besar akan kehilangan semua kerusi dimiliki ketika ini khususnya di tiga kerusi majoriti Melayu iaitu Seberang Jaya; Penanti dan Batu Maung.

 
Baki tujuh kerusi lain yang majoriti Cina pula dibimbangi PKR menyaksikan penyusutan majoriti atau terpaksa diserah kepada PAN yang turut melihat PRN mengejut sebagai peluang memperkenalkan parti tersebut kepada rakyat.-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.