Video: Najib Gesa Semua Parti Dedahkan Maklumat Dana Politik

SEREMBAN – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan mencadangkan semula pengwujudan peraturan yang menghendaki parti politik mendedahkan senarai punca dana politik yang diterima mereka.

 

Perdana Menteri berkata cadangan peraturan itu yang bertujuan memastikan parti politik lebih telus sebelum ini telah dikemukakan namun ditolak DAP.

 

“Memang presiden parti boleh cari wang (dana) untuk parti. Saya boleh terangkan (punca dana UMNO) dengan syarat pembangkang pun terangkan punca kewangan mereka.

 

“DAP perlu terangkan, PKR perlu terangkan daripada mana mereka dapat (dana). Saya boleh terangkan kalau mereka terangkan…sama-sama kita terangkan barulah adil,” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Seremban di Paroi di sini hari ini.

 

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, beliau sering ‘diserang’ pembangkang berhubung punca dana UMNO, namun pihak tersebut sendiri enggan mendedahkan punca dana mereka.

 

Beliau turut mempersoalkan tindakan DAP yang menolak cadangan itu sebelum ini: “DAP yang tidak bersetuju. Kenapa? ada muslihat? Bila tidak setuju apa sebenarnya punca?”.

 

Cadangan mewujudkan peraturan itu sebelum ini dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertujuan mewajibkan parti-parti politik mengisytiharkan sumber dana politik masing-masing agar ketelusan dapat diwujudkan.

 

 

Semalam, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam kenyataan berkata, DAP antara parti paling awal membantah cadangan itu kerana bimbang ia akan merugikan parti itu.

 

Abdul Rahman berkata semasa SPRM mula-mula mencadangkan perubahan dari segi pembiayaan politik, Najib merupakan pemimpin politik pertama yang menyokong idea itu dan mahukan ia dilaksanakan serta dimasukkan ke dalam inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP).

 

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua UMNO Bahagian Seremban Datuk Abu Ubaidah Redza, Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad serta beberapa pemimpin tertinggi UMNO Negeri Sembilan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.