Video: Hentak Meja Untuk Tegur Pun Tak Apa, Tapi Bukan Secara Terbuka – PM

SEREMBAN – Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebagai pemimpin utama parti, beliau boleh menerima teguran dan kritikan yang dibuat oleh ahli parti terhadapnya.

 

Perdana Menteri bagaimanapun berkata, kritikan dan teguran itu mestilah dibuat dengan cara dan di tempat yang wajar kerana jika dilakukan di tempat yang tidak sepatutnya, ia boleh merosakkan parti.

 

“Kalau kita duduk semeja, kita bincang. Jika tidak cukup maklumat, cari maklumat. Kalau kita ada bercanggah pendapat pun tak apa, bertengkar pun tak apa, jangan sampai baling kerusi sahaja.

 

“Setakat tumbuk meja pun tak apa, sesama kita dalam bilik, tetapi bila kita di luar, kita orang parti yang setia kepada parti kita,” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Seremban, di Paroi di sini, hari ini.

 

Beliau berkata apabila sesuatu keputusan telah dibuat, semua anggota parti mesti menunjukkan perpaduan dan mempertahankan keputusan itu.

 

Najib berkata walaupun mempunyai perbezaan pendapat, ahli Umno perlu menunjukkan bahawa parti itu terus bersatu terutama dalam memastikan parti itu dapat mengekalkan kedudukan dan memenangi pilihan raya umum akan datang.

 

“Sebab itu, pada saya kita mesti berusaha supaya parti kita ini teguh. Teguh kerana apa, kerana kita bersatu, setia, disiplin, komited, barulah parti kita teguh dan mencapai kejayaan,” katanya.

 

 

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai pelbagai laporan dalam Sarawak Report yang mana laporan itu seperti menggambarkan mereka cuba menentukan siapa yang harus memimpin negara ini.

 

Dalam hal ini, Najib menegaskan beliau tidak akan tunduk terhadap desakan atau kritikan oleh mana-mana pihak luar mengenai kepimpinan negara.

 

“Saya pantang dalam hal ini, saya tidak boleh terima jika orang luar cuba menentukan kepimpinan negara kita. Kalau saya tidak betul biar ahli parti yang menegur saya, saya boleh terima.

 

“Tapi kalau orang luar, orang putih luar, orang asing luar nak tentukan siapa yang patut memimpin negara, saya tidak akan terima dan ahli parti tidak akan terima. Apa hak mereka (orang luar)? Kita mesti bersatu dalam hal ini,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.