Tak Salah ‘Jadi’ Perempuan, Seni Lakonan Adalah Suatu Yang Subjektif – Fizz Fairuz

Dalam keterujaan aktor Fizz Fairuz, 34, mendapat khabar gembira mengenai kehamilan isterinya, Almy Nadia, anak jati Pahang itu turut tidak sabar menantikan filem komedi lakonannya, ‘Mat Tudung’ menjengah pawagam pada hari raya pertama kelak.

Menyatakan pendiriannya mengenai watak menerusi filem terbitan KRU Studios berkenaan, Fizz yang membawakan karakter seorang lelaki yang menyamar dalam persalinan wanita memberitahu bahawa dia tidak khuatir perwatakan itu akan menimbulkan isu memandangkan ia adalah salah satu seni lakonan.

Menyedari sebelum ini terdapat beberapa pendapat yang menyuarakan agar tidak membenarkan lelaki membawa watak wanita dalam sesebuah karya terbitan sama ada di kaca televisyen, di layar lebar, di panggung teater, di pentas persembahan waima di mana sekalipun, namun Fizz beranggapan bahawa seni lakonan itu adalah sesuatu yang subjektif. Ia tidak perlu disekat jika ada sebab yang kukuh untuk menzahirkan kreativiti pengkarya.

“Jika zaman dahulu, golongan hawa dilarang membabitkan diri dalam sebarang persembahan pentas sama ada tarian, nyanyian ataupun lakonan. Disebabkan itu, seandainya ada persembahan yang memerlukan watak wanita, pelakon lelaki yang akan menggalas peranan terbabit dengan mengenakan pakaian serupa mereka.

Jadi, isu telah wujud sekian lama dalam industri seni tempatan malah di peringkat global juga. Dan tidak perlu dipersoalkan kerana seni itu perlukan minda yang terbuka untuk menerima dan mentafsirnya, kemudian barulah ia bergelar karya.

“Apapun, pandangan saya ini bukan bermaksud saya bersikap konservatif, cuma ia adalah satu pendapat yang benar dan tidak menyalahi hukum syariat selagi niat yang ditetapkan adalah demi mencari rezeki yang halal menerusi cara relevan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!