Selain ‘Ustaz Serbuk Kari’ Pemimpin India Dan Cina Pun Sama

Kuala Lumpur – Setiausaha agung PSM S Arutchelvan berkata kontroversi yang timbul susulan kenyataan penceramah yang didakwa menghina penganut Hindu berpunca dari budaya perkauman yang menular melalui politik pecah dan perintah.

“Kita dilahirkan dalam satu sistem pecah dan perintah. Jika kita tidak dapat memecahkan sistem ini dengan satu perjuangan kelas, maka rakyat biasa semua kaum akan rugi dan menderita.

“Hanya golongan kapitalis dan ekstremis kaum dan fanatik agama semua kaum sahaja akan menang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kontroversi yang timbul susulan penyebaran satu video memuatkan kenyataan seorang penceramah Shahul Hamid yang menghina penganut Hindu.

Arutchelvan berkata beliau maklum dengan kemarahan masyarakat India Hindu serta MIC ke atas Shahul, namun berpendapat penceramah tersebut hanya “terperangkap” dalam isu tersebut.

Sedangkan, sentimen serupa dalam bentuk seruan untuk menyokong produk keluaran usahawan dari bangsa sendiri turut disuarakan majlis tertutup kaum India dan Cina, katanya.

Beliau seterusnya mengaitkan sikap hipokrasi tersebut dengan semangat perkauman yang didakwanya masih menebal di kalangan masyarakat negara ini.

“Saya melihat ustaz tersebut tidak bernasib baik kerana terperangkap dalam video. MIC juga ada buat satu demonstrasi dan ramai orang India Hindu membuat aduan polis seperti juga taktik yang digunakan PERKASA dan ISMA sebelum ini yang buat aduan polis.

“Realiti di Malaysia adalah perkauman begitu tebal. Ramai pemimpin India dan Cina juga dalam forum tertutup satu kaum membuat perkara yang sama iaitu mendorong orang membeli barangan dari kaum mereka sendiri dan juga biasa mengeluarkan sindiran terhadap kaum lain.

“Hanya dalam program dihadiri semua kaum, mereka akan bercakap dalam bahasa yang cukup indah untuk menawan hari semua orang,” kata Arutchelvan lagi yang tidak menamakan mana-mana individu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.