PAS Perlu Tinggalkan Pakatan Demi Untuk Kekalkan Kuasa Islam Dan Melayu

Saya bersimpati dengan Dr Zuhdi yang diserang bertubi-tubi oleh kawan dan lawan, baik dalam media utama mahupun alternatif. Namun tidak ada siapa yang menafikan, walaupun di kalangan ahli dan kepimpinan PAS, bahawa kedudukan PAS dalam PR lebih banyak mengundang kerosakan kepada parti daripada kebaikan. Walaupun dari segi bilangan kerusi yang dimenangi bertambah namun dari aspek jati diri parti ianya sesuatu yang perlu dimuhasabahkan.

Saya melihat Dr Zuhdi adalah merupakan wakil kepada suara hati ramai pemimpin dan ahli parti yang selama ini gelisah dengan tindak tanduk parti kompenen PR lain tetapi tidak berani bersuara. Tahniah Dr Zuhdi, jangan berundur kerana saya yakin ramai ahli parti dan juga rakyat luar yang menyambut baik pandangan saudara. Hanya mereka yang takut hilang kuasa merasa tertekan dengan pandangan saudara.

Saya menggariskan 10 sebab kenapa PAS harus meninggalkan PR:

1. Agenda PAS banyak diselewengkan oleh pihak yang berkepentingan dalam parti tersebut. Jika PAS keluar PR maka PAS akan berjaya kembalikan perjuangannya yang asal seperti yang dipelopori oleh pimpinan awal mereka ke arah mendaulatkan Islam yang mana bangsa Melayu sebagai tonggak pemerintahan.

2. Memperkasakan kembali ulamak sebagai tonggak pimpinan parti. Keadaan sekarang dilihat ulamak tidak dihormati oleh pihak tertentu dalam parti malah dalam sesetengah keadaan ulamak dilihat diperlekehkan oleh ahli mereka sendiri.

3. Mampu memberhentikan serangan terhadap Islam oleh musuh-musuh Islam yang mengambil kesempatan keterlibatan PAS dalam PR yang dilihat terlalu bertoleransi dengan musuh Islam.

4. Menghilangkan kekeliruan rakyat terhadap sikap dan hala tuju PAS yang selama ini menjadikan Islam sebagai landasan perjuangan mereka. Rakyat yang cintakan Islam keliru dengan sikap PAS yang dilihat menyokong tindakan-tindakan musuh Islam atas nama ‘Rahmatan Lil Alamin’.

5. Mampu menyatukan kembali Melayu Islam yang hari ini dilihat hilang kepimpinan kerana pihak PAS tidak lagi mengambil kira suara hati mereka.

6. Mengekalkan penguasaan Melayu Islam di negara ini yang sangat kritikal ketika pihak musuh berusaha menghancurkan agama Islam dan bangsa Melayu.

7. Sokongan pengundi Melayu yang ingin kepada perubahan akan kembali kepada PAS kerana mereka sudah tidak yakin dengan kepimpinan UMNO. Selama ini mereka tidak berani mengundi PAS kerana PAS dilihat ‘tewas’ dalam pertarungan politik dengan DAP. Dakwaan DAP yang mengatakan PAS akan kehilangan lebih banyak kerusi kerana kehilangan undi Cina jika keluar PR adalah satu dakwaan mengugut dan penghinaan.

8. Institusi Kesultanan akan dapat dipertahankan kembali kerana musuh Islam tidak berani mempertikaikannya lagi jika majoriti Melayu Islam mempertahankanya. Sekarang ini institusi ini sedang cuba digoyahkan.

9. Mengelakkan parti ini daripada diperkudakan oleh nafsu serakah individu yang hanya mementingkan kuasa dan harta, nasib rakyat dan agama Islam bukan lagi menjadi agenda peribadi ini.

10. Tahaluf PAS dengan DAP adalah satu tahaluf yang boleh dipertikaikan dari segi syarak kerana ia banyak merugikan Islam baik dari segi kefahaman mahupun perlaksanaannya.

Tuan Haji Aminuddin Yahaya
Timbalan Presiden ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.