Moto E Dilancar Ogos

Selepas mendapat sambutan memberangsangkan di India, United Kingdom, Brazil, Mexico, Sepanyol dan Kanada, Motorola kini bersedia untuk secara rasminya melancarkan telefon pintar bajet Moto E di Malaysia pertengahan Ogos ini.

Telefon pintar itu akan dijual secara eksklusif di portal Lazada Malaysia (www.lazada.com.my), pusat beli-belah dalam talian terbesar di Asia.

Langkah menjual secara dalam talian itu diambil susulan kejayaan pakatan antara Motorola dengan Flipkart, peruncit dalam talian India yang sebelum ini berjaya menjual satu juta telefon Motorola, merangkumi tiga model, dalam tempoh lima bulan.

Telefon pintar pertama selepas pengambilalihan Motorola oleh Lenovo itu hadir dengan skrin paparan qHD berukuran 4.3-inci berkepadatan piksel 256ppi dan disertakan gelas keselamatan Corning Gorilla Glass 3.

Dari segi dalaman, Moto E hadir menggunakan prosesor dual-core Cortex A7
berkelajuan 1.2GHz dan menggunakan sistem operasi Android 4.4.2 KitKat.
Yakin sambutan hangat
“Untuk pasaran Malaysia ia akan dijual secara dalam talian pada harga di bawah RM400,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Lazada Malaysia.

Dengan harga kompetitif itu, Lazada Malaysia yakin Moto E akan mendapat sambutan hangat.

Sebagai perbandingan, sebelum ini apabila telefon pintar Huawei Honor 3C yang dijual pada harga RM499, ia habis dijual dalam masa kurang 30 minit.
Motorola turut mengesahkan akan sentiasa mengemaskini versi Android terbaharu bagi telefon pintar itu.

Spesifikasi lain adalah, 1GB RAM, 4GB memori simpanan dalaman, dan dengan sokongan kad microSD ia mampu mencecah sehingga 32GB.

Motorola Moto E menyokong dwi-SIM, rangkaian 3G, , Wi-Fi 802.11n, Bluetooth, GPS dan mempunyai FM Radio.

Dari segi kamera pula, Moto E mempunyai kamera belakang 5MP. Bagaimanapun, kamera hadapan tidak disediakan.

Sungguhpun menggunakan pak bateri 1980mAh, beratnya hanya 142 gram sementara ketebalan pula cuma 12.3 milimeter dengan dimensi 124.8 x 64.8 x 12.3 milimeter.

“Harganya yang mampu milik tanpa kompromi gaya, kualiti dan pengalaman, berserta keberkesanan penghantaran oleh Lazada, akan memastikan rakyat Malaysia meraih manfaat akses internet pada harga patut,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Igor Pezzeli.

Untuk membuat tempahan sila layari lazada.com.my pada 13 Ogos ini atau ‘like’ Facebook Lazada Malaysia untuk maklumat terkini.

Lazada adalah sebahagian daripada Lazada Group yang merangkumi platform C2C, Lamido.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.