Mayat Wanita Ditemui Terbakar Di Tandas Pasar Besar Kulim

Kulim – Mayat dipercayai seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an ditemui dalam keadaan terlentang dan terbakar di sebuah tandas wanita di Pasar Besar Kulim, Kulim, hari ini.

Mayat yang masih belum diketahui identiti itu ditemui kira-kira pukul 8.40 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Abdullah Arshad berkata orang awam yang mengunjungi pasar berkenaan ternampak api sedang marak dari sebuah tandas awam di pasar itu.

“Orang ramai dikatakan memadamkan api yang membakar seluruh tubuh wanita berkenaan namun tidak dapat menyelamatkan mangsa yang keseluruhan badannya terbakar lalu mereka membuat panggilan kecemasan kepada pihak Bomba dan Penyelamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat.

Abdullah berkata polis sedang menyiasat punca kejadian tersebut dan sedang mengenal pasti identiti mangsa.

Sehubungan itu, beliau meminta sesiapa yang kehilangan saudara mara untuk tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pasukan Bomba dan Penyelamat Kulim yang diketuai Ketua Balai itu Ghazali Mahmud bersama enam anggota mendapati mayat mangsa terbakar teruk ketika pasukan itu tiba di tempat kejadian dan tiada pengenalan diri mangsa yang ditemui di lokasi.

“Pihak kami turut menjumpai sebuah botol plastik kosong ada kesan bau petrol dan kotak mancis di tandas berkenaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.