Juara Bertahan, Pandelela Hanya Mampu Raih Pingat Perak

Kuala Lumpur – Juara bertahan, Pandelela Rinong harus kesal dengan terjunan terakhir apabila terpaksa berpuas hati dengan pingat perak acara 10 meter platform individu wanita di Glasgow, awal pagi ini.

Jaguh terjun negara yang menang emas di New Delhi, empat tahun lalu kali ini hanya mampu mencatat 368.55 mata dan terpaksa akur apabila emas dimenangi atlet Kanada, Meaghan Benefeito (372.65).

Seorang lagi penerjun Kanada, Roseline Filion menang gangsa dengan catatan 361.80 dalam aksi membabitkan 12 peserta di Royal Commonwealth Pool.

Dua lagi perserta negara, Cheong Jun Hoong dan Loh Zhiayi memberi aksi terpuji pada babak awal tapi terpaksa akur di tempat keenam (332.60) dan kelapan (318.25).

Apa pun, kegagalan Pandelela itu berjaya ditampung oleh Ooi Tze Liang yang sebelum itu membuat kejutan menang emas acara 3m papan anjal lelaki untuk menghadiahkan emas keempat kontinjen negara.

Pandelela mendahului pada pusingan ketiga dan keempat dan memberi bayangan mampu mempertahankan gelaran sekali lagi tetapi terjunan hambar pada pusingan kelima menafikan dia emas.

Namun, kutipan mata gadis berusia 21 tahun dari Bau, Sarawak itu dfi Glasgow adalah catatan lebih baik berbanding ketika dia menang gangsa Sukan Olimpik 2012 di London iaitu 359.2.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.