Imam Masjid Maut Ditikam

Xinjiang – Imam masjid terbesar di China, Masjid Id Kah menemui ajal di masjid berkenaan, selepas ditikam di perkarangan masjid itu, pada awal pagi Rabu.

Mengesahkan kejadian tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Kestabilan dan Kejiranan Kashgar, Abdugheni Dolkun, berkata Jume Tahir, 74 tahun, diserang dan ditikam ketika hendak meninggalkan masjid itu, pada pagi hari raya kedua.

“Arwah seorang yang sangat warak dan kuat agama. Seseorang telah membunuhnya.

“Sejak kebelakangan ini, beliau banyak berucap secara terbuka mengenai pandangannya terhadap keganasan yang tercetus di barat Xinjiang dan menyalahkan puak pemisah,” katanya dipetik portal telegraph.co.uk, hari ini.

Tambahnya, Jume yang juga Timbalan Presiden Persatuan Islam Xinjiang, adalah seorang yang pemaaf, disenangi ramai dan tidak mempunyai musuh di kejiranan itu.

“Namun, ada seorang guru pernah mendakwa dia dimusuhi kerana menyokong penindasan kerajaan Uighur dan imam tersebut juga pernah dituduh menjadikan masjid itu sebagai markas untuk menyebarkan propaganda ajaran komunis,” katanya.

Jenazahnya dikebumikan di Kashgar, pada hari sama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.