Tutup Akaun Pertubuhan Islam: HSBC Enggan Ulas Lanjut, Pemuda UMNO Desak Beku Akaun Tanda Protes

Shah Alam – HSBC menafikan tindakannya menutup beberapa akaun pelanggannya yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam adalah satu bentuk diskriminasi.

HSBC dalam satu kenyataan melalui HSBC Bank Malaysia Bhd semalam berkata, keputusan menghentikan hubungan dengan pelanggan bank itu tidak diambil ringan dan sama sekali tidak berdasarkan bangsa atau agama pelanggan.

“Diskriminasi terhadap pelanggan berasaskan bangsa atau agama adalah tidak bermoral, tidak boleh diterima dan tidak dibenarkan dari segi undang-undang,” menurut kenyataan itu.

HSBC berkata, bank itu mempunyai peraturan dan dasar menyeluruh yang diguna pakai untuk memastikan keputusan perbankan tidak dibuat berdasarkan faktor bangsa atau agama.

HSBC bagaimanapun enggan mengulas berhubung akaun tiga NGO Islam di United Kingdom (UK) yang akan ditutup itu.

Namun menurut HSBC, bank itu didenda sebanyak AS$1.9 bilion (RM6 bilion) pada Disember 2012 oleh pihak berkuasa UK dan Amerika Syarikat serta perlu menandatangani perjanjian pendakwaan tertangguh.

“(HSBC) menjalankan program penilaian strategik dalam semua perniagaannya. Berdasarkan penilaian berterusan ini, kami telah menamatkan hubungan dengan pelanggan individu dan perniagaan di lebih 70 negara.

“Perkhidmatan (perbankan) yang kami berikan kepada pertubuhan kebajikan tidak dikecualikan daripada penilaian di peringkat global ini,” menurut HSBC.

Dalam perkembangan yang sama Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang, Datuk Khairul Anwar Rahmat menyeru supaya kerajaan dan umat Islam membekukan akaun dagangan mereka dengan HSBC sebagai tanda protes terhadap tindakan HSBC cawangan London yang telah membekukan beberapa akuan milik pertubuhan bukan kerajaan NGO disana dengan alasan yang tidak munasabah.

Menurut Khairul, beliau percaya bahawa tindakan HSBC ini bertujuan untuk melumpuhkan usaha NGO Islam di Eropah.

“Ini berikutan NGO Islam di Eropah aktif dalam mengumpul dana untuk disalurkan kepada umat Islam di Palestin.

“Saya amat kesal dengan kejadian ini kerana NGO Islam disana memerah keringat atas dasar berjihad untuk agama dan kemanusiaan,” katanya.

Tambahnya lagi, dengan penutupan akaun oleh HSBC disana akan menyebabkan aktiviti sumbangan lumpuh kerana mereka hanya memiliki akaun tunggal di bank HSBC.

“Saya percaya ini semua adalah satu tindakan yang telah dirancang bagi melemahkan umat Islam yang telah mengumpul dana yang telah mencecah berbilion ringgit.

“Ini telah membuatkan mereka takut dengan usaha umat Islam yang semakin bersatu mengutuk kekejaman pihak Zionis terhadap rakyat di Palestin,” jelasnya di dalam satu kenyataan media.

Sementara itu, Khairul menambah bahawa HSBC telah mengeluarkan notis untuk menutup beberapa akaun yang dikatakan berisiko berkuatkuasa 22 September ini.

“Akaun-akaun yang akan ditutup adalah milik Masjid Finsbury Park, Yayasan Kebajikan Ummah Bolton dan Yayasan Cordoba.

“Saya meminta pihak pengurusan bank HSBC di Malaysia menyampaikan pendirian rakyat Malaysia yang menyokong untuk membantu rakyat di Palestin,” ujarnya.

 

Baca : HSBC Tutup Akaun Bank Pertubuhan Muslim

 

Baca : Tutup Akaun: Pelbagai Pihak Gesa Boikot HSBC

 

Baca : HSBC Terminates Gaza-Linked Islamic Charity’s Bank Account Including Finsbury Park Mosque

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.