KUALA LUMPUR – Audit keselamatan terhadap keseluruhan sistem saluran paip negara perlu dijalankan dengan segera dan hasilnya harus didedahkan kepada umum dalam bentuk peta risiko yang mudah diakses.
Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung Pas Pusat kini adalah N Balasubramaniam menggesa agar tragedi kebakaran paip gas Putra Heights dijadikan sebagai satu titik tolak kepada tindakan nasional yang menyeluruh dan sistematik.
“Saya menyambut baik penubuhan Pasukan Petugas Bebas oleh Petronas dan usaha menyelaras laluan bekalan alternatif.
“Namun, apa yang lebih utama ialah pendekatan pencegahan jangka panjang, bukan hanya reaksi selepas kejadian berlaku,” saran beliau.
Justeru, Balasubramaniam mencadangkan lima tindakan segera iaitu melaksanakan kajian menyeluruh terhadap semua saluran paip gas aktif di Malaysia, terutama yang melalui kawasan berpenduduk padat dan berhampiran institusi awam.
“Selain itu, menguatkuasakan zon penampan keselamatan di sekitar saluran paip, termasuk pemasangan papan tanda amaran dan maklumat teknikal secara jelas dan konsisten dan juga menjalankan latihan kecemasan berkala melibatkan penduduk setempat supaya mereka bersedia bertindak sekiranya berlaku kebocoran atau letupan.
“Juga meningkatkan ketelusan data lokasi paip gas, supaya pihak berkuasa tempatan dan komuniti dapat membuat perancangan pembangunan dan keselamatan dengan lebih bijak dan bertanggungjawab.
“Menggalakkan penglibatan masyarakat sivil, NGO dan komuniti setempat dalam usaha penilaian risiko dan pemantauan infrastruktur tenaga di kawasan masing-masing,” cadangnya.
Tambah Balasubramaniam beliau percaya bahawa negara kita masih mempunyai masa, sumber dan kepakaran untuk memperkukuh sistem keselamatan tenaga demi kesejahteraan rakyat.
“Namun, kita tidak harus menunggu tragedi seterusnya untuk bertindak. Kebakaran di Putra Heights adalah satu isyarat yang jelas bahawa sekuriti awam dan pengurusan risiko infrastruktur perlu diberi keutamaan nasional segera,” tegas beliau.
Ujar Balasubraminiam lagi, beliau menyatakan kebimbangan mendalam berhubung insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu yang telah mencederakan lebih 100 orang dan mencetuskan kegusaran awam berkaitan tahap keselamatan sistem paip gas negara.
“Insiden tragik ini bukan sahaja menggugat kesejahteraan penduduk Putra Heights, bahkan membangkitkan persoalan serius terhadap keutuhan jaringan saluran paip gas di seluruh negara terutama yang melalui kawasan perumahan padat, sekolah dan premis awam.
“Walaupun Petronas Gas Berhad (PGB) menjelaskan bahawa sistem pemantauan mereka menggunakan teknologi canggih seperti SCADA, dron dan pengesanan akustik yang beroperasi 24 jam, kejadian di Putra Heights membuktikan bahawa risiko luar jangka masih wujud dan langkah pencegahan sedia ada perlu diperkemas.
“Laporan terbaharu Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Malaysia mendedahkan bahawa punca utama insiden ini ialah keadaan tanah yang lemah dan lembap di bawah saluran paip gas. Walaupun paip tersebut memenuhi spesifikasi teknikal, bahagian bawahnya yang tidak disokong sepenuhnya telah menyebabkan kegagalan fizikal (physical failure), kebocoran gas dan seterusnya kebakaran besar.
“Pergerakan berulang pada struktur paip akibat kelembutan tanah telah menyebabkan tekanan berulang (cyclic loading), mewujudkan garis tekanan dan keletihan (fatigue striations) pada permukaan paip yang akhirnya menyumbang kepada letupan,” katanya.