Pegawai kanan polis langgar mati pelajar mohon ikat jamin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menetapkan 1 Ogos depan untuk pendengaran permohonan jaminan dikemukakan oleh pegawai kanan polis yang didakwa membunuh pelajar tingkatan lima pada Disember tahun lalu.

Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet menetapkan tarikh itu selepas peguam, Jacky Loi Yap Loong, Lim Chi Chau dan Lim Jin Wen mengemukakan afidavit permohonan anak guam mereka Mohd Nazri Abdul Razak, 45.

Pada tarikh berkenaan kedua-dua belah pihak perlu memfailkan hujahan, sementara menunggu tarikh perbicaraan bagi permohonan jaminan itu.

Terdahulu, Loi memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya memfailkan afidavit permohonan itu pada 28 Jun lalu, lapor Harian Metro di Ipoh pada Isnin.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memberitahu bahawa penetapan tarikh itu adalah untuk membolehkan kedua-dua belah pihak pendakwaan dan pembelaan masing-masing memfailkan hujahan bertulis serta hujahan balas sebelum tarikh bicara permohonan jaminan kes bunuh itu ditetapkan kemudian.

“Hari ini, mahkamah beri arahan kepada kedua-dua pihak untuk failkan hujahan dan hujahan balas masing-masing. Maknanya selepas 1 Ogos nanti baru kita tahu bila tarikh mula bicara bagi permohonan jaminan itu,” katanya.

Pada 14 Mei lalu, Mohd Nazri yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dengan memegang pangkat Deputi Superintendan (DSP) mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan membunuh terhadapnya dibacakan juga di hadapan Bhupindar Singh.

Mahkamah ketika itu turut menetapkan hari ini (1 Julai) sebagai tarikh sebutan untuk kedua-dua pihak untuk menyerahkan afidavit masing-masing.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17 di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati dalam daerah Kinta, di sini antara jam 11.45 pagi hingga 12.40 tengah hari, 15 Disember 2023.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara sehingga 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum dengan tidak kurang 12 sebatan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat