DOF Pahang lepas tukun ‘kuboid juvenil’ untuk habitat ikan berkualiti tinggi

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

KUANTAN – Tukun tiruan bukan sahaja menjadi habitat pelbagai jenis ikan berkualiti tinggi, meningkatkan pembiakan ikan malah sebagai penghalang dan mengekang aktiviti bot pukat tunda yang menjejaskan ekosistem laut.

Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Pahang, Abdullah Jaafar berkata demikian ketika menyempurnakan program melabuh tukun konservasi di sini pada Selasa lalu.

Turut hadir, Pegawai Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Perikanan dan Taman Laut DOF, Hasbullah Harun; Pegawai Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT); Pengerusi JKK Kg. Juara, Ab Razib Ali Awang dan Pegawai Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Nazratul Azra Tukirin.

Abdullah berkata, DOF Pahang telah melabuhkan sebanyak 11 tukun tiruan jenis ‘kuboid juvenil’ membabitkan kos RM366,580 di perairan laut Kampung Juara dan Pulau Seri Buat dalam kawasan Taman Laut Pulau Tioman, Rompin.

Program melabuhkan tukun tiruan konkrit seberat 18 tan setiap satu itu merupakan kali pertama pada tahun ini dan telah dijalankan selama dua hari di sini.

Menurutnya, program ini selari dengan Dasar Keterjaminan Makanan 2021 – 2025 yang menjadi salah satu usaha DOF untuk memulihara tempat pembiakan dan habitat ikan, bagi memastikan bekalan makanan asasi dalam negara mencukupi.

Malah ianya memberi perlindungan kepada sumber perikanan serta meningkatkan biodiversiti flora dan fauna di perairan Taman Laut.

Menurutnya lagi, tukun tiruan ini akan meningkatkan lagi stok ikan di perairan Taman Laut yang akan melimpah keluar dan menjadi hasil tangkapan serta rezeki kepada nelayan tempatan.

Katanya, sejak 2019 DOF Pahang telah membelanjakan sebanyak RM1,780,090 bagi pembangunan tukun-tukun di negeri ini.

Ianya melibatkan perairan Taman Laut Pulau Tioman, Kuala Pontian; Nenasi Cherok Paloh, Taman Laut Pulau Tulai, Taman Laut Tioman serta perairan Seri Buat. –  SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat