Wartawan Dilarang Bawa Mekap Dan Buah

Hong Kong – Wartawan yang membuat liputan lawatan Presiden China, Xi Jinping ketika perarakan tentera di Hong Kong semalam dilarang membawa 14 kategori barangan termasuk mekap dan buahan kerana disenaraikan ‘berbahaya.’

Xi melawat lapangan terbang Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) di Hong Kong – antara acara paling dinantikan sempena 20 tahun penyerahan semula bandar itu kepada China oleh Britain.

Menjelang perarakan, wartawan diberi arahan bertulis butiran langkah keselamatan termasuk 14 kategori ‘akeseori terlarang.’

Ada yang tidak menghairankan seperti senjata, pemetik api serta pisau. Namun bahan lain yang lebih pelik turut dikhususkan.

Sianida, candu, morfin serta heroin dilarang, juga haiwan, tumbuhan, makanan, minuman dan buahan, malah alat kosmetik serta deodoran kerana mengandungi cecair.

Lebih menyukarkan untuk wartawan, pen turut dilarang.

Payung dilarang dalam kategori berbeza kerana simbolik pergerakan demokrasi bandar itu pada 2014 yang digelar ‘Revolusi Payung.’

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.