Pencemaran Amonia Sebabkan LRA Simpang Renggam Ditutup Sementara

KLUANG – Hampir 7,000 pengguna di kawasan Simpang Renggam, dekat sini, terputus bekalan air sejak petang semalam susulan penutupan sementara Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam akibat pencemaran amonia.

Bacaan amonia yang tinggi dikesan pada sumber air mentah dari Sungai Benut, sejak semalam. Pencemaran dipercayai berlaku apabila kolam air larutan resapan (leachate) di Tapak Pelupusan CEP1 Simpang Renggam, dekat sini, pecah sekali gus menyebabkan berlaku pencemaran air di Sungai Benut.

Ketua Komunikasi Korporat SAJ Ranhill Sdn Bhd, Jamaluddin Jamal, berkata berikutan penutupan LRA Simpang Renggam itu, lima lori tangki air sudah dikerahkan ke kawasan Simpang Renggam bagi membekalkan air bersih.

“Kami terpaksa menghentikan sementara operasi Loji Rawatan Air Simpang Renggam selepas ia mencatatkan bacaan Amonia 13 perjuta (PPM) berbanding bacaan 1.5 PPM yang dibenarkan Kementerian Kesihatan.

“SAJ masih memantau bacaan amonia di sumber air Sungai Benut dan akan segera membuka sekali gus memproses bekalan air bersih seperti sedia kala sekiranya bacaan Amonia di Sungai Benut turun kepada 1.5 PPM.

“Pengguna di Simpan Renggam yang terjejas dan mengalami keputusan bekalan air diminta menghubungi talian mesra SAJ di 1800-88-7474 bagi membuat aduan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Wilayah Johor SWM Environment Sdn Bhd, Mohd Zan Arris, berkata SWM sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kolam air larutan resapan di Tapak Pelupusan CEP1 Simpang Renggam, pecah.

“Tindakan serta-merta bagi membaiki kolam yang pecah itu sudah dilaksanakan dan selesai sejak semalam,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.