Operasi E-Kad Bermula 51 PATI Ditahan Di Klang

KLANG – Seramai 51 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi di Selangor selepas tamat tempoh pendaftaran kad sementara atau E-Kad semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata semua PATI itu ditahan selepas pemeriksaan terhadap 239 pekerja asing di dua buah asrama yang menempatkan tenaga kerja untuk beberapa kilang di Batu 7 Kapar, di sini, bermula jam 12.30 malam dan berakhir pada 2.30 pagi.

“Seramai 51 PATI ditahan selepas didapati tidak mempunyai sebarang dokumen atau dokumen perjalanan dan pasport yang tamat tempoh dan sebagainya.

“Mereka terdiri daripada 38 warga Bangladesh, lima dari Nepal, dan masing-masing empat dari Indonesia serta Myanmar,” katanya selepas mengetuai operasi itu.

Mustafar berkata, 51 PATI yang ditahan akan dibawa ke depoh tahanan sementara untuk siasatan lanjut dan tindakan selanjutnya.

“Seramai 49 PATI langgar syarat pas lawatan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1953 manakala dua lagi disiasat mengikut Seksyen 5 (1) (c) akta sama,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.