Militan Daesh Terkepung Di Raqqa

DAMSYIK – Pemberontak yang disokong Amerika Syarikat (AS), Tentera Demokratik Syria (SDF) menutup laluan terakhir untuk kumpulan militan Daesh melarikan diri dari bandar Raqqa kelmarin.

Menurut AFP, perkembangan itu menyaksikan militan berkenaan terperangkap di Raqqa yang menjadi ibu kota kerajaan khalifah Daesh.

Namun, pejuang-pejuang Daesh turut melakukan serangan balas termasuk pengeboman bunuh diri terhadap SDF yang terdiri daripada perikatan pejuang Kurdis dan Arab.

SDF menawan dua buah kampung di tebing selatan Sungai Euphrates yang digunakan militan Daesh untuk berundur dari Raqqa, kata Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) yang berpangkalan di Britain.

“SDF berjaya mengepung Raqa sepenuhnya,” kata ketua SOHR, Rami Abdel Rahman, lapor Kosmo.

Kejayaan SDF memberikan tamparan baharu kepada kumpulan Daesh yang mengisytiharkan pemerintahan khalifah di Syria dan Iraq sejak tiga tahun lalu tetapi telah hilang kebanyakan wilayah yang dikuasainya.

Kejayaan itu turut berlaku selepas tentera Iraq mengumumkan kejayaan menawan semula masjid bersejarah al-Nuri sekali gus mengusir Daesh dari Mosul kelmarin.

Pasukan SDF yang disokong tentera pakatan diketuai AS telah memasuki Raqa pada 6 Jun lalu selepas masa beberapa bulan diambil untuk menawan kawasan yang dikuasai militan Daesh di sekitar bandar itu.

Timbalan komander tentera pakatan AS, Mejar Jeneral Rupert Jones berkata, kira-kira 2,500 pejuang Daesh mempertahankan Raqqa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.