1,035 Pendatang Asing dan 16 Majikan Ditahan Dalam Operasi Imigresen

KUALA LUMPUR – Seramai 1,035 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan 16 majikan ditahan dalam Op Mega Jabatan Imigresen, yang dijalankan di seluruh negara bermula tengah malam hingga 1 tengah hari tadi, selepas tamat tempoh program pendaftaran Enforcement Card atau E-Kad semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata operasi itu, yang dijalankan di 155 premis dan memeriksa 3,393 orang, menyaksikan Johor mencatatkan penahanan paling ramai iaitu 414 PATI dan tiga majikan.

“Operasi di Kelantan membawa penahanan 147 PATI manakala di Sabah seramai 69 PATI dan empat majikan ditahan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata operasi di Terengganu pula merekodkan penahanan seramai 64 PATI diikuti Selangor (51), Kuala Lumpur (48), Melaka (46) dan Perlis (41).

Sementara itu, operasi di Sarawak merekodkan 36 PATI ditahan dan jumlah sama dicatatkan di Perak dengan seorang majikan ditahan manakala di Pulau Pinang melibatkan 23 PATI dan empat majikan.

Operasi di Negeri Sembilan pula membawa kepada penahanan 23 PATI sementara di Kedah 20 PATI dan satu majikan ditahan.

“Di Pahang, seramai tiga majikan dan 10 PATI ditahan selain operasi di Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan penahanan tujuh PATI,”kata Mustafar.

E-Kad merupakan pengesahan sementara bagi menggantikan dokumen perjalanan yang sah untuk membolehkan warga asing yang tidak mempunyai dokumen terus bekerja di sini.

Kad berkenaan bagaimanapun akan tamat tempoh pada 15 Feb tahun depan dan pemegang kad berkenaan perlu mendapatkan dokumen perjalanan yang sah daripada kedutaan negara masing-masing bagi tujuan permohonan permit kerja atau berdepan pengusiran.

Hanya 23 peratus atau 161,056 PATI didaftarkan sehingga 10 malam tadi, iaitu dua jam sebelum tempoh akhir pendaftaran tamat pada 12 tengah malam.

Ia melibatkan 28,375 majikan dengan sebanyak 145,571 E-Kad dikeluarkan, jumlah yang jauh lebih rendah daripada sasaran asal 600,000 PATI. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.