Yaya Sudah Boleh Berkomunikasi, Kata Ibu Saudara

KOTA BHARU – “Yaya sudah boleh bercakap, hari ini. Yaya banyak berkomunikasi,” kata Roslila Wati Yussof, 32, ibu saudara, Nur Zuliana Zaara, 5, atau lebih mesra dengan panggilan Yaya, kanak-kanak malang yang menjadi mang­sa dera ibu tirinya.

 

Perkembangan tersebut sekali gus memberi harapan baharu kepada keluarga kanak-kanak itu untuk melihat Nur Zuliana kembali kepada perwatakan asalnya yang aktif dan manja.

 

Yaya yang disahkan mengalami kecacatan kekal akibat kecederaan patah 13 tulang di seluruh badan menjadi seorang yang pendiam dan antisosial selain bertukar menjadi pasif.

 

Perubahan sikap Nur Zuliana itu dise­babkan penderitaan yang terpaksa ditanggungnya sejak dipelihara oleh ibu tiri serta bapa kandungnya di Taman Rantau Mas, Rantau Panjang, Pasir Mas dua tahun lalu.

 

Roslila berkata, selain telah mula berkomunikasi, perkemba­ngan kesihatan Nur Zuliana juga dilihat semakin baik.

 

“Yaya semakin sihat, cuma kesan daripada pembedahan merawat usus kecilnya semalam menyebabkan Yaya masih belum boleh makan.

 

“Yaya banyak bercakap hari ini. Yaya juga minta nak makan dan beritahu mahu jalan-jalan, jumpa sepupu-sepupu lain seperti sebelum-sebelum ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini hari ini.

 

Semalam, Nur Zuliana terpaksa menjalani pembedahan utama bagi merawat usus kecilnya yang berpintal kesan daripada dipukul.

 

Kejadian dera membabitkan Nur Zuliana terbongkar selepas ibu kandungnya yang mengambil alih hak penjagaan mendapati badan kanak-kanak itu dipenuhi parut dan kesan lebam, selain keadaan fizikalnya yang lemah, Rabu lalu.

 

Tambah Roslila, selepas kejadian tersebut, Yaya kini juga semakin rapat dengan ibu kandungnya sendiri.

 

“Yaya lebih banyak rapatkan diri dengan ibu kandungnya dan ibunya juga banyak meluangkan masa bersembang dan menjaga Yaya,” katanya.

 

Sementara itu, Roslila berkata, dia dan seluruh keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil sebarang tindakan kepada individu yang bertanggungjawab mendera anak saudaranya itu.

 

“Saya tidak mengenali lebih dekat siapa ibu tiri Yaya, tetapi saya harap tindakan undang-undang yang sewajarnya akan dikenakan,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.